Wan Rosdy Akan Bentang Belanjawan Pahang 2026 Esok, Jam 10 Pagi
KUALA LUMPUR, 4 Dis – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan membentangkan belanjawan 2026 esok, Jumaat.
Dalam satu hantaran di Facebook, Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pembentangan dijadualkan akan disiarkan secara langsung di laman sosialnya itu, selain di Facebook Kerajaan Negeri Pahang, Dewan Negeri Pahang atau Pahang Media.

Selain itu, siaran juga boleh ditonton di YouTube (https://youtube.com/@pahangmediatv) dan TikTok (https://www.tiktok.com/@pahangmedia) Pahang Media.
Tahun lalu, Wan Rosdy membentangkan Belanjawan Pahang 2025 dengan tema ‘Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan’ di Dewan Negeri Pahang, di Kuantan dengan menyasarkan kutipan hasil kerajaan negeri mencecah RM1.194 bilion iaitu peningkatan lima peratus berbanding belanjawan tahun 2024.
Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak RM1.182 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, merangkumi perbelanjaan emolumen, perkhidmatan dan bekalan, pemberian dan kenaan bayaran tetap serta perbelanjaan lain dan aset.
Menjelaskan lebih lanjut, Wan Rosdy berkata peruntukan RM1.182 bilion itu adalah peningkatan RM57 juta atau 5.05 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan lebihan RM12 juta.
Dilaporkan, Wan Rosdy ketika selesai Retreat Belanjawan Negeri Pahang 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Ayer Keroh, Melaka pada pertengahan Sept lalu berkata Belanjawan Negeri Pahang 2026 akan digubal dengan pendekatan yang realistik, berdaya maju dan benar-benar berpihak kepada rakyat. – UMNO ONLINE
