Sokong Komuniti OKU, Terus Jayakan Agenda Keterangkuman

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpandangan Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (HOKU) yang disambut sebagai satu platform penting untuk menyokong komuniti orang kurang upaya (OKU).

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata ia penting dalam membina negara yang lebih inklusif membabitkan hak dan kebajikan golongan ini.

“Hari ini mengingatkan saya bahawa kita bukan sekadar menganjurkan acara, tetapi sedang memperkukuhkan ekosistem yang menyokong komuniti OKU untuk terus maju ke hadapan.

“Ayuh, terus kita jayakan agenda keterangkuman demi masa depan negara yang lebih sejahtera, adil dan penuh empati,” katanya.

Noraini berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi kehadirannya dalam Fun Walk & Fun Wheel (Wheelchair) sempena Sambutan HOKU 2025 yang diadakan di Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Program tersebut melibatkan penjawat awam OKU, pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi,, pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan juga komuniti Pusat Pemulihan Dalam Komuniti.

Beliau dalam pada itu menyifatkan acara larian santai tersebut bukan sahaja sebagai aktiviti riadah, tetapi sebagai simbol perpaduan dan solidariti seluruh lapisan masyarakat terhadap komuniti OKU.

Katanya lagi, penyertaan yang meriah mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat untuk bersama-sama membina persekitaran yang lebih inklusif, mesra OKU dan menyokong kesejahteraan bersama.

“Seawal pagi, suasana penuh ceria dengan warna-warni pakaian peserta, gelagat anak-anak istimewa, dan senyuman para keluarga serta rakan-rakan OKU yang hadir. Setelah sesi senamrobik, saya bersama Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkesempatan menyempurnakan flag-off sebagai simbol permulaan Fun Walk sejauh tiga kilometer.

“Sambutan sepanjang hari turut dipenuhi pelbagai aktiviti seperti Pameran Informasi dan Perkhidmatan, Pameran Inovasi dan Teknologi, jualan produk Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), segmen latihan kemahiran serta peluang pekerjaan, Forum Anak Autisme, pertandingan penulisan dan deklamasi sajak, perkongsian OKU, pemeriksaan kesihatan dan banyak lagi.

“Setiap pengisian membawa mesej jelas bahawa masyarakat inklusif hanya dapat dibina melalui usaha dan komitmen bersama,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO