Festival of Ideas (FOI) Angkat Suara Generasi Muda, Ketengahkan Inovasi Negara

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berharap pada masa hadapan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus mempertahankan dan memperkukuhkan legasi Festival of Ideas (FOI).

Menurutnya, ia bukan sekadar festival tetapi pentas untuk mengangkat suara generasi muda, mengetengahkan inovasi negara, serta membentuk masa depan pendidikan tinggi Malaysia di peringkat serantau dan global.

“Kejayaan FOI tidak diukur pada kemeriahan acara semata-mata. Ia terletak pada ketahanan mental, kekuatan fizikal, disiplin, dan semangat sepasukan yang tidak pernah luntur. FOI 2025 membuktikan bahawa apabila kita bergerak dengan satu hati dan satu matlamat, hasilnya mampu mengatasi segala jangkaan.

“Tahun 2026 bakal membuka lembaran baharu yang lebih besar, lebih berimpak dan lebih berani. Dengan semangat dan pasukan yang kita miliki hari ini, saya yakin FOI akan terus berdiri sebagai simbol ilham, anjakan idea dan pembaharuan nasional,” ujar Dr Zambry dalam satu catatan di Facebook.

Terdahulu pada petang Rabu, beliau dan seluruh pengurusan tertinggi KPT berkumpul untuk meraikan pasukan yang telah menggerakkan FOI Putrajaya 2025 sehingga berjaya mencipta sejarah baharu.

“Secara peribadi, saya menzahirkan rasa bangga, syukur dan terharu terhadap dedikasi setiap individu tidak kira siapa anda, apa jawatan anda, dan sekecil atau sebesar mana peranan anda dalam FOI. Anda semua adalah wira sebenar yang menjadikan FOI bukan sahaja berjaya, tetapi menjadi penanda aras baharu buat negara.

“Dari peringkat perancang hinggalah sukarelawan di lapangan yang bertungkus-lumus tanpa mengenal penat dan lelah, anda telah menjadikan FOI 2025 sebagai sebuah gerakan ilmu, inovasi dan inspirasi yang hidup.

“Seperti yang sering saya tegaskan, FOI bukan milik sesiapa secara individu. Ia adalah gerakan bersama KPT dengan kementerian dan agensi lain, serta seluruh ekosistem pendidikan tinggi yang bersatu tenaga. Ia dibina melalui keringat, iltizam dan kerjasama banyak pihak,” kata Dr Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu lagi.

Selanjutnya ulas Dr Zambry, bagi tahun ini, FOI berkembang lebih besar daripada yang pernah dibayangkan.

“Dengan jumlah kehadiran maya dan fizikal melebihi 2 juta orang, FOI Putrajaya 2025 turut mencatat sejarah dengan pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori “Most Academic Discourse Sessions in an Innovation Ideas Event” menerusi penganjuran 127 sesi wacana yang melibatkan tokoh negara, pemikir global, ahli akademik, penggiat industri, mahasiswa dan masyarakat,” katanya.

Justeru, Dr Zambry mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan FOI.

“Anda bukan sekadar menjalankan tugas tetapi anda membuktikan bahawa idea mampu mengubah dunia. Terima kasih semua,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO