KKR Komited Pastikan Infrastruktur Jalan Raya Pada Tahap Optimum Guna Teknologi Terkini

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya komited dalam memastikan infrastruktur jalan raya negara berada dalam tahap optimum menggunakan teknologi terkini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr  Ahmad Maslan berkata, untuk itu, kajian terhadap teknologi inovatif bahan turapan yang menggabungkan bitumin dengan getah asli beku ketulan cawan telah dijalankan.

“Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan kajian terhadap teknologi inovatif bahan turapan yang menggabungkan bitumin dengan getah asli beku ketulan cawan (cup lump) menghasilkan produk dikenali sebagai ‘Cup Lump Modified Binder’ (CMB).

“Apabila CMB ini dicampurkan bersama batuan-batuan agregat, ia membentuk campuran asphalt yang dinamakan ‘Cup Lump Modified Asphalt’ (CMA). Kajian keberkesanan produk ini telah dilaksanakan oleh Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREATE) sejak tahun 2015.

“Pelbagai ujian makmal dan pemerhatian tapak untuk menilai daya tahan campuran terhadap beban trafik dibuat berterusan. Kajian ini telah dijalankan di empat lokasi di Jalan Persekutuan, di Daerah Tampin, Daerah Baling, Kedah, Daerah Temerloh, Daerah Kota Bharu, Kelantan di mana setiap lokasi melibatkan turapan sepanjang 500 meter menjadikan jumlah keseluruhan panjang adalah sepanjang 2,000 meter,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, turapan CMA berada pada tahap memuaskan dan berpotensi besar untuk digunakan dalam pembinaan jalan raya.

“Hasil pemantauan selama 38 bulan menunjukkan prestasi turapan CMA berada pada tahap memuaskan khususnya dari segi pembentukan alur dan keretakan. Keputusan ini membuktikan bahawa bahan tersebut berpotensi besar untuk digunakan dalam pembinaan jalan raya.

“Campuran cup lump getah beku ini hanya enam hingga lapan peratus dalam bitumin. Bitumin pula adalah produk akhir industri petroleum. Panjang jalan yang terlibat untuk pelaksanaan turapan CMA setakat ini adalah 216.8 kilometer di pelbagai laluan persekutuan.

“Sepanjang 2018 hingga 2025, kementerian ini dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM140.9 juta melalui 142 arahan kerja kepada syarikat konsensi Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia agar menggunakan CMA. Kerja-kerja ini telah siap sepenuhnya.

“Selain itu, pelaksanaan CMB dan CMA melibatkan dua agensi. LGM berfungsi membentuk dan membangunkan cup lump modified binder manakala JKR menilai, memberikan khidmat nasihat, membina turapan CMA mengikut piawaian serta spesifikasi JKR,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO