KPT Fokus Selaras Kursus Universiti Dengan Keperluan Masa Depan
KUALA LUMPUR, 1 Dis – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan kementerian sentiasa memberi fokus terhadap penyelarasan kursus bagi memenuhi keperluan masa depan dalam bidang-bidang yang menjadi keutamaan negara.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ia bertepatan dengan perubahan pesat teknologi serta ketidakstabilan ekonomi global.
“Pada masa ini, terdapat 11 universiti awam yang menawarkan kursus berkaitan kecerdasan buatan (AI) di pelbagai peringkat pendidikan tinggi.
“Kita menjangkakan 30,000 graduan akan dihasilkan antara tahun 2025 hingga 2030 melalui lebih 30 program ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang ini.
“Bagi mengintegrasikan bidang berkaitan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), ekonomi hijau dan AI, KPT telah memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) serta penekanan kepada Pendidikan untuk Pembangunan Mampan (ESD) sebagai pemboleh daya utama dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya.
Dr Zambry berkata demikian ketika menjawab Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) berkenaan strategi kementerian menyelaras kursus universiti dengan keperluan masa depan dalam memperkukuh daya saing graduan Malaysia di peringkat global.
Menjawab kepada persoalan tersebut beliau berkata beberapa universiti telah mula meneroka bidang baharu seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM).
“Sebagai contoh UTM yang menubuhkan Fakulti AI di peringkat pascasiswazah yang turut menawarkan kursus intelligent informatics, deep learning dan sebagainya. Manakala UPM yang menubuhkan Pusat Teknologi Kriptografi bersama agensi keselamatan siber negara untuk pembangunan AI, komputeran kuantum.
“UPM juga disebut sebagai salah satu universiti utama dalam bidang sains hayat dan bioteknologi.
“Dalam konteks ESG, USM dalam Times Higher Education Report menduduki tempat kedua di Asia dengan memperkenal program yang mempunyai impak ranking yang baik dalam bidang tersebut termasuk pengajian alam sekitar.
“Selain daripada itu juga ada program baharu masa hadapan dipanggil sebagai kejuruteraan bersepadu, mendapat sambutan dan permintaan tinggi diperkenalkan oleh Universiti Teknologi PETRONAS,” ujar beliau. – UMNO Online
