Sollehin Turun Padang, Ziarah Mangsa Banjir Di Trong
KUALA LUMPUR, 28 Nov – Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie menyantuni mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong yang terjejas akibat bencana banjir.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia berkata, lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Batu Hampar itu bertujuan meninjau keadaan semasa serta memberikan sokongan moral kepada penduduk yang terkesan.
“Saya melawat PPS Batu Hampar bagi menziarahi mangsa banjir yang terjejas. Baru-baru ini beberapa kawasan dalam DUN Trong kembali diuji dengan bencana banjir untuk kali kedua dalam tempoh sebulan dan saya dapat rasa sendiri betapa peritnya keadaan yang mereka sedang hadapi.
“Dalam Bajet Negeri Perak baru-baru ini, Datuk Seri Saarani Mohamad telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 37.9 juta bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Trong.
“Kelulusan ini datang tepat pada masanya kerana perlaksanaan RTB ini dapat membantu melancarkan aliran air sungai, mengelakkan sungai cepat melimpah dan seterusnya mengurangkan risiko banjir berulang di kawasan sekitar.
“Lawatan kali ini bukan sekadar melihat situasi, tetapi untuk meringankan rasa dan berkongsi kesusahan bersama keluarga besar saya di Trong yang sedang menempuh ujian berat ini. Semoga air cepat surut, keadaan kembali pulih dan segala urusan mangsa dipermudahkan.
Kita akan terus bersama, susah senang, demi kesejahteraan rakyat Trong,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, Mohammad Sollehin menerusi perkongsian terdahulu turut sama berkongsi ziarah kasih yang dilakukan beliau bagi menyantuni mereka yang berhadapan ujian kesihatan.
Kunjungan itu bagi mengetahui perkembangan terkini mereka di samping memberikan sokongan moral dan bantuan keperluan yang bersesuaian.
“Saya terlebih dahulu singgah menziarahi isteri Penghulu Jaiz yang kini semakin pulih selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN. Alhamdulillah keadaan beliau beransur sihat dan saya doakan beliau terus kuat melalui proses pemulihan. Semoga Allah kurniakan kesihatan yang baik dan ketenangan buat seluruh keluarga.
“Saya kemudian menziarahi Shaari Dollah di Kampung Padang Gajah, antara orang lama dan tokoh senior UMNO Trong yang sangat berjasa kepada perjuangan parti. Beliau baru sahaja menjalani pembedahan akibat komplikasi kencing manis.
“Melihat keadaan beliau, saya bersetuju untuk menyumbangkan sebuah katil pesakit bagi memudahkan rawatan harian dan memberi lebih keselesaan kepada beliau dalam tempoh pemulihan ini.
“Semoga semua yang diuji diberikan kekuatan, kesembuhan dan ketabahan. Doakan saya terus dapat berkhidmat dengan sebaiknya untuk masyarakat Trong,” ujar beliau. – UMNO Online
