Rizam Santuni Mangsa Banjir, Tinjau Situasi Terkini Di PPS
KUALA LUMPUR, 28 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail berbesar hati turun padang menyantuni rakyat yang berhadapan musibah banjir.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bagan Nakhoda Omar bagi meninjau perkembangan terkini mangsa banjir.
“Saya sekali lagi turun ke PPS Bagan Nakhoda Omar bagi menziarahi mangsa terbaharu yang terlibat dalam bencana banjir.
“Setakat pagi ini, jumlah mangsa meningkat kepada 145 orang daripada 47 keluarga dan saya turut menyampaikan sumbangan sebagai usaha meringankan beban yang mereka hadapi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Rizam dalam pada itu turut sama berharap rakyat untuk sentiasa berwaspada dengan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) ekoran Ribut Tropika Senyar yang dikesan memasuki ruang udara Malaysia sejak petang semalam.
“Saya juga menerima makluman terkini daripada Dato’ Menteri Besar Selangor yang menasihatkan agar seluruh rakyat negeri ini sentiasa berwaspada dan bersiap siaga berikutan ribut tropika yang sedang bergerak di Selat Melaka.
“Fenomena ini dijangka membawa tempias angin kencang serta keadaan laut bergelora ke kawasan Selangor.
“Marilah kita bersama-sama berdoa agar kawasan yang masih dilanda banjir segera surut, dan semoga setiap titisan hujan yang turun membawa manfaat, bukan mudarat atau bencana kepada kita semua,” ujar beliau. – UMNO Online
