Belanjawan Perak: Inisiatif Ekonomi Baharu… Dr Ustaz Yusri Cadang Ladang Kopi Dipertimbang
KUALA LUMPUR, 28 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr Ustaz Yusri Bakir mencadangkan agar pembangunan ladang kopi di Ayer Kuning dipertimbangkan sebagai salah satu inisiatif ekonomi baharu kepada penduduk tempatan.
Beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan telah menekankan beberapa isu penting ketika Perbahasan Belanjawan 2026, pada Khamis.

“Perbahasan Belanjawan 2026 pada Khamis, saya menekankan beberapa isu penting yang dekat dengan hati rakyat DUN Ayer Kuning.
“Penyelenggaraan jalan raya di kawasan kita perlu dipertingkat dan disegerakan, termasuk kerja-kerja menstabilkan tebing Sungai Batang Padang yang kerap menimbulkan kebimbangan penduduk.
“Saya turut menggesa agar kualiti perkhidmatan internet di beberapa kawasan yang masih lemah dapat dipertingkat untuk memastikan rakyat tidak terus ketinggalan dalam era digital,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa segala perkara yang dibahaskan ketika belanjawan tersebut adalah demi kesejahteraan rakyat di DUN Ayer Kuning.
“Dengan tegas saya meminta Jabatan Veterinar mengambil tindakan lebih kritikal dan konsisten dalam menangani isu lembu berkeliaran yang sering menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
“Saya juga mencadangkan agar pembangunan ladang kopi di Ayer Kuning dipertimbangkan sebagai salah satu inisiatif ekonomi baharu yang mampu memberi manfaat langsung kepada penduduk tempatan.
“Segala yang dibahaskan adalah demi kesejahteraan rakyat Ayer Kuning yang saya kasihi. Terima kasih atas kepercayaan dan sokongan berterusan anda semua,” katanya lagi. – UMNO Online
