Amaran Hujan Berterusan: Semua Agensi Berkaitan Dalam Kesiapsiagaan Penuh

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Semua agensi berkaitan telah berada dalam kesiapsiagaan penuh untuk menghadapi sebarang kemungkinan lantaran amaran hujan berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara menyeru semua yang berada di kawasan terlibat agar sentiasa peka dengan keadaan semasa.

“Merujuk amaran terbaru yang dikeluarkan MET Malaysia malam tadi, beberapa negeri dijangka mengalami hujan lebat berterusan sehingga 29 November 2025, melibatkan kawasan dalam kategori ‘Bahaya, Buruk dan Waspada’ di seluruh Semenanjung.

“Saya menyeru semua yang berada di kawasan terlibat terutamanya di Terengganu, Pahang, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah agar sentiasa berhati-hati dan peka dengan perkembangan cuaca semasa,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO turut menyeru agar penduduk di kawasan berisiko mematuhi arahan berpindah sekiranya terlibat dalam bencana banjir.

“Elakkan kawasan rendah yang mudah dinaiki air, arus deras dan sungai yang melimpah. Sekiranya menerima arahan berpindah, patuhi segera demi keselamatan diri dan keluarga.

“Insya-Allah, semua agensi berkaitan telah berada dalam kesiapsiagaan penuh untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Sama-sama kita berdoa agar keadaan kekal terkawal dan semua dilindungi daripada sebarang musibah,” katanya lagi.

Pada Khamis, MET Malaysia mengeluarkan Amaran Ribut Tropika (SENYAR) susulan sistem cuaca itu dikesan menghala ke kawasan perairan berhampiran negara.

Ia berpotensi membawa hujan lebat berserta angin kencang di beberapa negeri mulai 27 November.

Menurut kenyataan MetMalaysia, ribut berkenaan dijangka menyebabkan keadaan laut bergelora, ombak tinggi dan risiko banjir kilat, khususnya di kawasan pesisir pantai serta lokasi rendah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO