TVET: Proton Institute Diperkasa Kemudahan Lengkap, Sasar 100 Peratus Kebolehpasaran Graduan
KUALA LUMPUR, 27 Nov – Proton Institute (PI) akan diperkasa dengan kemudahan lengkap untuk keperluan latihan TVET dengan menyasarkan 100 peratus kadar kebolehpasaran graduan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, terdapat 16 institut yang menawarkan kursus automotif di seluruh negara.

“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Tenaga Manusia (JTM) mempunyai 16 institut yang menawarkan kursus automotif di seluruh negara termasuk kampus di Shah Alam dan Kuala Lumpur.
“Sehingga 31 Oktober 2025, seramai 1,906 orang pelajar sedang mengikuti program sepenuh masa dan 3,097 orang tenaga kerja sedia ada telah mengikuti program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latih semula (reskilling),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Soal Jawab Menteri di Parlimen, sebentar tadi.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan bahawa ADTEC Melaka telah dijenamakan semula sebagai PROTON Institute (PI) untuk merealisasikan institusi TVET yang diterajui industri.
“Untuk makluman, JTM telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Proton Holdings Berhad, Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (PEDA) dan Persatuan Pembekal Proton Malaysia (PVA) pada 3 Oktober 2024 bagi merealisasikan institusi TVET yang diterajui industri.
“Melalui kerjasama ini, ADTEC Melaka telah dijenamakan semula sebagai Proton Institute (PI) dengan penekanan kepada pembangunan bakat dalam teknologi automotif termaju negara.
“Justeru , Proton Institute (PI) akan diperkasa dengan kemudahan lengkap termasuk pusat latihan, pusat servis dan pusat jualan seperti Pusat 3S Proton sebenar, selain mewujudkan DOJO iaitu ruang latihan khusus yang dilengkapi dengan keperluan latihan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata, dengan usaha tersebut para pelajar akan mendapat latihan yang relevan dengan teknologi terkini dan dijamin peluang pekerjaan di Proton.
“Pelajar bukan sahaja mendapat latihan yang relevan dengan teknologi terkini, malah dijamin peluang pekerjaan di Proton Tanjung Malim, Proton Edar dan syarikat vendor Proton di seluruh negara.
“Melalui pendekatan ini, JTM memastikan tenaga mahir yang dilahirkan selari dengan keperluan industri automotif, sekali gus merapatkan jurang kemahiran dan menyasarkan 100 peratus kadar kebolehpasaran graduan melalui jaminan pekerjaan oleh syarikat,” katanya lagi. – UMNO Online
