Tarik Minat Anak Muda… Tenggara Cadang Elaun Sukarelawan Dinaikkan

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib mencadangkan agar elaun sukarelawan dinaikkan untuk menarik minat anak-anak muda menyertai aktiviti tersebut.

Ujarnya, penurunan peruntukan kesukarelawan dari RM167.05 juta ke RM163.57 perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

“Nampaknya peruntukan di bawah butiran 020200 – kesukarelawan, turun dari RM167.05 juta ke RM163.57. Tenggara sebenarnya nak cadang satu kajian dibuat oleh kementerian untuk menaikkan elaun sukarelawan ini bagi polis, RELA dan sebagainya termasuklah Skuad Ehsan Madani sebagai insentif menarik minat anak-anak muda.

“Mohon juga untuk semak semula standard elaun sekarang yang memperuntukkan RM6 sejam bagi polis (lain-lain pangkat) dan RM7.80 sejam (pegawai), dilihat masih sangat rendah… tak mampu tanggung kos sara hidup yang semakin meningkat dan risiko kepada tanggungjawab.

“Tenggara juga mengajak Kementerian Dalam Negeri (KDN) pertimbang Model Penugasan Hujung Minggu bagi kadet-kadet polis terutamanya Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang boleh digerakkan untuk membantu komuniti secara rasmi dengan elaun tertentu.

“Adakah pihak KDN merancang untuk memberikan sijil kompetensi ataupun rekod latihan digital kepada sukarelawan ini supaya boleh digunakan untuk rekod bagi mereka pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan agar kerajaan menggubal Pelan Lima Tahun untuk menyerap kakitangan kontrak ke jawatan tetap.

“Sebenarnya berapa jumlah kakitangan kontrak yang sedang berkhidmat di bawah KDN dan apakah peranan sebenar mereka, berapa ramai di antara mereka memiliki peranan kritikal seperti operasi keselamatan, pentadbiran sokongan teknikal Pusat Tahanan Imigresen dan sebagainya?

“Adakah KDN melihat penggunaan kakitangan kontrak ini sebagai selamat dan mampan terutamanya dalam tugasan sensitif melibatkan keselamatan negara? Kita tidak boleh terus bergantung kepada tenaga kerja kontrak untuk kerja jangka panjang.

“Kita juga tidak boleh biarkan kakitangan ini hidup dalam ketidakpastian bertahun-tahun. Jadi, adakah KDN cadang untuk menyerap mereka ke jawatan tetap? Berapa peratus jangkaan kementerian untuk diserap tetap pada Belanjawan 2026?

“Tenggara juga ingin menggesa kerajaan untuk menggubal Pelan Lima Tahun dengan sasaran jelas laksana latihan dan peningkatan kompetensi bantu mereka yang layak diserap melalui merit,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO