KPM Perlu Baiki Sistem IDME, Elak Guru Terus Terbeban Tugas Pentadbiran
KUALA LUMPUR, 27 Nov – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh memohon Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan segera terhadap isu gangguan Sistem Pengurusan Identiti (iDME) yang menjejaskan tugas harian para guru di seluruh negara.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata demikian ekoran mendapat laporan bahawa guru-guru kini tertekan apabila sistem pengisian maklumat tersebut mengalami gangguan hampir seminggu.
“Saya difahamkan semua guru-guru seluruh Malaysia sedang berperang untuk mengisi maklumat di dalam sistem IDME yang mana hampir dekat seminggu sistem tersebut mengalami gangguan.
“Saya mohon pihak KPM dengarlah keluhan guru-guru ini dan perbaikilah sistem yang sedia ada.
“Sudahlah kita minta guru-guru kita buat tugas pengekeranian sekurangnya bagilah mereka sistem yang boleh berfungsi dengan baik bukannya sistem yang asyik tergendala sahaja,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut Dr Akmal, bebanan ini bukan sahaja memberi tekanan kepada guru, malah turut memberi kesan tidak langsung kepada para pelajar.
Sehubungan itu, beliau merayu agar KPM mendengar rintihan warga pendidik dan segera memperbaiki sistem sedia ada.
“Ini yang saya maklumkan dalam RIMBUN 1.0 yang mana guru-guru kita hari ini banyak dibebankan dengan urusan pengkeranian lebih dari tanggungjawab utama untuk mengajar anak-anak.
“Ditambah pula sistem pula yang bermasalah dan mereka dikejar untuk menyelesaikan semua ini kerana ingin mencapai KPI pihak atasan.
“Akhirnya lahirlah guru yang terbeban dengan tugas yang sebenarnya bukan tugas hakiki mereka
Kesannya bukan sahaja pada guru,tetapi pada anak-anak kita.
“Benar guru diibaratkan sebagai lilin,tetapi jangan kita layan mereka seperti arang yang dibakar sehingga menjadi debu,” ujar beliau. – UMNO Online
