Mohd Asna Turun Padang Tinjau Perkembangan Pembinaan Masjid Baharu
KUALA LUMPUR, 26 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berbesar hati turun padang bagi melihat perkembangan terkini pembinaan Masjid Ulu Beranang.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban berkata, lawatan tersebut diadakan bagi meninjau lebih dekat sekaligus memastikan segala proses berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Masjid ini dijangka siap serta dapat digunakan sekitar Hari Raya Aidilfitri 2026, iaitu pada tahun hadapan.
“Apabila siap sepenuhnya kelak, masjid ini bukan sahaja menyediakan ruang ibadah yang lebih selesa, malah akan berfungsi sebagai pusat kegiatan masyarakat, pendidikan agama dan penyatuan komuniti Ulu Beranang serta kawasan sekitarnya.
“Insyallah, orang Ulu Beranang tarawih di masjid baru,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan berharap agar urusan pembinaan dipermudahkan serta projek ini dapat disiapkan mengikut jadual demi manfaat masyarakat setempat.
Sementara itu beliau juga turut sama berkesempatan ke Masjid Kampung Daching bagi meninjau keadaan semasa masjid serta mengadakan perbincangan awal berkaitan cadangan kerja-kerja pembinaan naik taraf.
Katanya, fokus utama perbincangan adalah bagi memperluas dan melebarkan ruang masjid untuk meningkatkan keselesaan jemaah serta menyediakan tambahan saf bagi menampung kehadiran yang semakin bertambah.
“Usaha ini diharap dapat memberikan ruang ibadah yang lebih kondusif, teratur dan selamat, khususnya ketika solat Jumaat, program keagamaan dan aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pihak masjid.
“Semoga perancangan ini berjalan lancar dan memberi manfaat yang besar kepada komuniti Kampung Daching serta kawasan sekitar,” ujar beliau. – UMNO Online
