Isu Pemeriksaan Bagasi: KDN Melalui AKPS Tumpu Perhatian Tiga Bidang Penambahbaikan

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menumpukan perhatian kepada tiga bidang penambahbaikan untuk memperkasa isu pemeriksaan bagasi dan barangan di lapangan terbang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, penggunaan teknologi pintar dan automasi termasuk menggunakan mesin pengimbas berdasarkan kecerdasan buatan (AI) dilihat mampu mengesan objek penipuan barang larangan.

“Selain aspek-aspek aset dan peralatan, KDN melalui AKPS menumpukan perhatian kepada tiga bidang penambahbaikan. Pertama, penggunaan teknologi pintar dan automasi.

“Ini antara langkah yang diambil termasuk penilaian terhadap penggunaan mesin pengimbas berdasarkan kecerdasan buatan (AI) yang boleh menganalisis imej secara automatik dan pantas.

“Teknologi ini membantu pegawai mengesan objek corak penipuan barang larangan seperti dadah, wang tunai, senjata yang lebih efisien sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada pemeriksanaan manual.

“Kerajaan juga menilai pelaksanaan pengisytiharan elektronik menerusi aplikasi mudah alih atau kios layan diri yang membolehkan penumpang membuat pengisytiharan lebih awal serta integrasi data secara nyata. Melalui menyatukan sistem-sistem ini untuk meningkatkan keupayaan risikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Soal Jawab Menteri di Parlimen, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO juga memaklumkan bahawa kerajaan kini turut memberi tumpuan kepada kerjasama erat antara pelbagai agensi untuk melancarkan pengurusan.

“Kedua, meningkatkan pengurusan risiko melalui penggunaan data analitik sistem pemprofilan penumpang lanjutan dapat mengenal pasti faktor risiko seperti destinasi perjalanan, rekod keluar-masuk dan sebagainya.

“Ketiga, aspek penyelarasan prosedur dan amalan terbaik. Kerajaan memberi tumpuan kepada kerjasama erat antara pelbagai agensi sebagai contoh data imbasan bagasi daftar masuk yang dijalankan oleh polis bantuan untuk tujuan keselamatan penerbangan turut dikongsi dengan pihak kastam, begitu juga dengan pihak penguatkuasaan sekaligus mengelakkan pemeriksaan berulang dan sebagainya,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO