Pengasuh Tidak Berdaftar, Beri Risiko Kepada Keselamatan Kanak-kanak
KUALA LUMPUR, 25 Nov – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa meluahkan kebimbangan beliau mengenai pengasuh yang beroperasi di rumah, sekaligus memberi risiko kepada keselamatan kanak-kanak.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin berkata ini kerana isu ini menyentuh mengenai kebajikan kanak-kanak, sekaligus turut sama memberi kesan kepada kesejahteraan ibu bapa yang bekerja.
“Di seluruh negara, ramai ibu bapa bergantung sepenuhnya kepada pengasuh yang beroperasi di rumah kerana terdesak dan tiada pilihan.
“Namun apabila kemudahan ini tidak berdaftar, tidak dipantau dan tidak mempunyai standard keselamatan minimum. Risikonya amat besar kepada anak-anak,” katanya.
Mohd Isam berkata demikian pada perbahasan RUU Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut beliau turut mencadangkan agar kementerian memperkenalkan insentif yang menarik supaya pengasuh tampil ke hadapan dan membuat pendaftaran.
“Pada masa yang sama, kementerian juga tidak boleh terus mengamalkan dasar yang menekan para pengasuh yang beroperasi di rumah tanpa menyediakan jalan keluar,” ujar beliau. – UMNO Online
