Pemilik Kebun Terima Bantuan BKHT Akibat Serangan Hidupan Liar
KUALA LUMPUR, 25 Nov – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia mengambil perhatian serius terhadap isu pemilik kebun dan penternak yang mengalami kerugian akibat kerosakan tanaman atau ternakan berpunca daripada serangan hidupan liar.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkata kerajaan melalui NRES telah memperkenalkan Inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) bermula pada Mac 2024.
“Skop BKHT adalah bantuan berbentuk kewangan yang diberi secara one-off kepada kumpulan sasar.
“Pampasan ini diberikan kepada pemilik kebun dan penternak yang mengalami kerosakan atau kemusnahan harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.
Johari yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian menjawab soalan daripada Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) berkenaan status pampasan wajar yang akan diberikan kepada pemilik kebun dan penternak di kawasan Parlimen Gerik yang tanaman dan ternakan mereka dimusnahkan oleh hidupan liar seperti gajah dan harimau.
Menurut beliau bermula tahun 2024 sehingga September 2025, Kerajaan telah meluluskan sebanyak RM1.7 Juta yang melibatkan 394 kelulusan permohonan.
“Bagi kawasan Parlimen Gerik, sebanyak 36 permohonan lengkap telah diterima dan sebanyak 34 permohonan telah diluluskan pada tahun 2024 dengan jumlah bantuan sebanyak RM155,075.19.
“Bagi tahun 2025 sehingga bulan September, sebanyak 37 permohonan lengkap telah diterima dan diluluskan dengan jumlah bantuan sebanyak RM186,508.52,” ujar beliau. – UMNO Online
