LTAT Komited Pulangan Kompetitif Dan Mampan Kepada Pencarum
KUALA LUMPUR, 25 Nov – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sentiasa berusaha untuk memastikan pulangan yang kompetitif dan mampan kepada pencarum, selaras dengan mandat terasnya untuk melindungi dan memastikan kesejahteraan sosioekonomi para pencarum selepas persaraan.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata dalam hal ini, pelbagai usaha dan langkah strategik, termasuk penstrukturan semula dan pengukuhan tadbir urus giat dilaksanakan untuk memperkukuh dan meningkatkan kelestarian portfolio pelaburan LTAT bagi jangka panjang.
“Terdapat beberapa pendekatan yang sedang dibuat oleh LTAT iaitu mengurangkan aset strategik, menyusun semula anak-anak syarikat LTAT yang berhutang besar serta memperkasa anak-anak syarikat LTAT dengan pemulihan operasi.
“Atas sebab itulah, kita menjalankan Project Earth, di mana pelan penstrukturan semula Boustead telah ditambah baik.
“Pelan ini telah diluluskan oleh LTAT pada 9 Ogos 2024 dan kemudiannya dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 13 Disember 2024 sebagai sebahagian daripada usaha menyusun semula aset kumpulan demi meningkatkan kecekapan dan pulangan jangka panjang,” katanya.
Mohamed Khaled berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berkenaan langkah-langkah strategik yang telah diambil oleh kementerian bagi menentukan LTAT dapat membayar dividen seperti mana zaman gemilang LTAT.
Mengulas lanjut kata beliau lagi, di bawah Project Earth, pelan tersebut akan mengurangkan pendedahan kepada Aset Strategik dalam Asset Under Management (AUM) LTAT.
“Melalui pelan ini, LTAT menyasarkan pengurangan pendedahan dalam Aset Strategik daripada 57.8 peratus pada bulan Julai 2025 kepada 35 peratus. Pendedahan kepada Boustead dijangka turun kepada 12 peratus, Affin kepada 9 peratus, BPlant kepada 7 peratus dan Kumpulan IRAT kepada 3 peratus dalam AUM LTAT.
“Hasil kerjasama dengan rakan strategik serta penjualan saham dan aset strategik, membolehkan LTAT mendapat dana untuk meningkatkan pelaburan dalam fixed income, yang lebih rendah risikonya. Jadi, kita dapat memberi lebih jaminan untuk memberikan pulangan yang lebih mampan dan stabil kepada pencarum.
“Melalui Project Earth ini juga, LTAT sedang mengambil tindakan mengurangkan jumlah pinjaman anak-anak syarikat, seperti Boustead Plantations supaya LTAT akan mendapat lebihan dana untuk meningkatkan prestasi pelaburan,” ujar beliau.
Katanya lagi sehingga kini, terdapat tiga anak syarikat LTAT iaitu Boustead Holdings Berhad, Pharmaniaga Berhad dan Boustead Plantations Berhad yang sedang melalui proses pemulihan melalui pemerkasaan operasi di bawah pelan ini.
“Seterusnya dengan melaksanakan semakan semula Rangka Kerja Perumpukan Aset Strategik (SAA) LTAT, yang kini telah diteliti dan mendapat kelulusan daripada Menteri Pertahanan serta Menteri Kewangan,” ujar beliau. – UMNO Online
