Komited Agenda Kelestarian: KPK Sedang Perkukuh Ekosistem SAF – Johari
KUALA LUMPUR, 25 Nov – Sebagai negara yang komited terhadap agenda kelestarian, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang memperkukuh sistem Sustainable Aviation Fuel (SAF), kata Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Johari yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan beliau telah mengadakan lawatan ke kilang EcoCeres Renewable Fuels Sdn Bhd di Tanjung Langsat, Johor pada Isnin.

“Saya telah mengadakan lawatan ke kilang EcoCeres Renewable Fuels Sdn Bhd di Tanjung Langsat, Johor, tapak pengeluaran SAF pertama di Malaysia.
“Kemudahan ini menandakan langkah penting negara dalam membangunkan bahan api boleh diperbaharui dan membuka ruang baharu kepada industri agromoditi untuk menghasilkan produk akhir bernilai tinggi bagi pasaran global.
“Sebagai negara yang komited terhadap agenda kelestarian, KPK sedang memperkukuh ekosistem SAF termasuk pembangunan mandat campuran SAF nasional,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut beliau turut berpandangan bahawa EcoCeres mempunyai kapasiti yang memperkukuhkan keupayaan industri di samping membawa limpahan ekonomi kepada ekonomi setempat.

“Usaha ini disokong oleh pengumpulan Used Cooking Oil (UCO) sebagai bahan mentah utama, yang kini telah melebihi 1,200 tan melalui program kesedaran bersama Petronas.
“EcoCeres dengan kapasiti tahunan 350,000 tan SAF, pelaburan lebih USD800 juta, dan lebih 300 peluang pekerjaan baharu, bukan sahaja memperkukuh keupayaan industri tetapi turut membawa limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.
“Tahniah kepada EcoCeres,” katanya lagi. – UMNO Online
