NAIO Perlu Dimanfaat Untuk Urus Risiko Bencana Alam

KUALA LUMPUR, 24 Nov — Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah hari ini membangkitkan persoalan mengenai peranan Pejabat Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan (NAIO) dalam sistem pengurusan bencana alam.

Beliau yang juga Pengerusi Backbenchers berkata, ia bagi memanfaatkan teknologi AI untuk memperkukuh sistem pengurusan dan pengurangan risiko bencana.

“NAIO ini perlu memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan keupayaan negara dalam aspek data fusion (menggabungkan data).

“Sekiranya kita benar-benar ingin menguruskan Pengurangan Risiko Bencana (DRR) kita mesti memastikan keupayaan data fusion negara berada pada tahap optimum.

“Kerana masalah utama di Malaysia adalah isu data fusion, data scarcity dan missing data sets, khususnya ketika menguruskan bencana alam,” katanya.

Mohd Shahar berkata demikian ketika perbahasan Peringkat Jawatankuasa RUU Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau lagi, teknologi AI penting untuk merekod pengalaman pegawai pakar agensi yang menyelia banjir ke dalam sistem coding yang boleh digunakan berterusan.

“Pengalaman dan kepakaran pegawai-pegawai dalam menguruskan bencana alam ini perlu dipindahkan ke dalam bentuk coding sebelum akhirnya dibangunkan menjadi sebuah sistem.

“Ini kerana kita tidak boleh membiarkan pegawai yang berpengalaman dipindahkan, akhirnya tidak dapat mengetahui sejarah bencana yang berlaku,” ujar beliau.

Mohd Shahar berkata langkah itu penting untuk memastikan Malaysia tidak terus ketinggalan dalam membangunkan sistem pengurusan bencana yang berasaskan data dan kecerdasan buatan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO