Monopoli Syarikat Kurier Beri Impak Kepada Kualiti Perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli meluahkan kebimbangan dengan isu ‘masking’ yang semakin menjadi amalan sesetengah platform e-dagang, iaitu pembeli tidak diberikan pilihan untuk memilih syarikat kurier yang mereka inginkan.

Menurut beliau ini kerana platform e-dagang menyembunyikan identiti kurier dan menetapkan penghantaran kepada satu syarikat sahaja secara eksklusif.

Masking ini secara tidak langsung mengunci pasaran, membunuh persaingan dan memberi kelebihan tidak adil kepada satu dua pemain sahaja.

“Kebimbangan Jempol adalah bahawa apabila monopoli mula terbentuk, harga rendah yang dinikmati pengguna hari ini hanyalah bersifat sementara.

“Dalam jangka pendek, ia kelihatan menguntungkan tetapi apabila pasaran dikuasai satu atau dua syarikat, harga akan melonjak, kualiti perkhidmatan merosot dan pilihan pengguna semakin terhad,” katanya.

Shamsulkahar berkata demikian ketika perbahasan RUU Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut kata beliau, perkara ini juga memberikan impak apabila pekerja terpaksa menerima komisen rendah kerana kuasa tawar-menawar hilang.

“Industri kurier ialah tulang belakang ekonomi digital Malaysia.

“Tanpa persaingan sihat, pengguna tidak lagi mempunyai pilihan di masa hadapan,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO