Kes Penipuan Pembantu Rumah Tidak Berlesen Meningkat, Kerugian Lebih RM260 Ribu

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memaklumkan kementerian peka dalam membanteras penipuan berkaitan pengambilan pembantu rumah.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ini termasuk melindungi mangsa, memastikan majikan tidak dieksploitasi dan menjamin bahawa hanya agensi berlesen, telus dan sah sahaja beroperasi di Malaysia.

“Berdasarkan rekod Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi tempoh tahun Januari 2023 hingga Oktober 2025 sebanyak 30 kes telah dilaporkan melibatkan penipuan pengambilan pembantu rumah tidak berlesen dengan kerugian keseluruhan berjumlah RM260,972.

“Sebanyak 11 kes dicatatkan pada tahun 2023, manakala pada tahun 2024 sebanyak 4 kes direkodkan dan sehingga Oktober 2025, meningkat kepada 15 kes.

“Berlaku peningkatan kes pada tahun 2025, menandakan kewujudan semula sindiket yang agresif mengekploitasi pengguna melalui platform digital, iklan palsu dan tawaran pengambilan pembantu rumah palsu dalam talian,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Mohd Shahar Bin Abdullah (BN-Paya Besar) berkenaan jumlah kes melibatkan agensi pengambilan pembantu rumah tidak berlesen termasuk dalam talian yang direkodkan tiga tahun kebelakangan ini ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut kata beliau berdasarkan Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 [Akta 246] yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung (JTKSM), hanya Agensi Pekerjaan Swasta (APS) berlesen yang dibenarkan menjalankan aktiviti merekrut termasuk pengambilan dan penempatan pekerja termasuk pembantu rumah asing.

Sehubungan itu katanya ejen atau individu yang melakukan aktiviti merekrut tanpa lesen merupakan kesalahan di bawah seksyen 7(2) Akta 246 dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Berdasarkan daripada rekod JTKSM, mulai 2023 sehingga 2025, sebanyak 13 kes pendakwaan telah dikenakan ke atas APS atas pelbagai kesalahan, antaranya kesalahan di bawah seksyen 7 iaitu menjalankan aktiviti merekrut tanpa lesen, seksyen 9 iaitu gagal mematuhi syarat lesen dan seksyen 13D iaitu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri semasa menjalankan aktiviti merekrut.

“Jumlah keseluruhan denda yang telah diputuskan oleh Mahkamah bagi kesalahan-kesalahan tersebut sebanyak RM205,000,” ujar beliau.

Tambah Abdul Rahman bagi menangani isu ini, KESUMA dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan pendekatan yang lebih tersusun, merangkumi penguatkuasaan, pemantauan agensi, perlindungan pengguna serta kempen kesedaran.

“Pendekatan pelbagai dimensi ini penting bagi memastikan pencegahan dapat dilakukan dari peringkat awal, manakala sindiket yang aktif dapat dikesan dan ditumpaskan dengan lebih berkesan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO