‘Hari Ini, Suaraku’… Bawa Mesej Suara Anak-Anak Perlu Dirai, Dihormati Dan Diangkat

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang bertemakan ‘Hari Ini, Suaraku’ membawa mesej bahawa suara anak-anak perlu diraikan, dihormati dan diangkat sebagai sebahagian daripada pembentukan masa hadapan negara.

Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah hadir ke Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Hari ini, saya berpeluang menghadiri Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang dianjurkan oleh KPWKM bersama JKM. Majlis yang menghimpunkan hampir lebih 1,000 orang kanak-kanak dari seluruh negara ini telah disempurnakan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Tahun ini, sambutan bertemakan ‘Hari Ini, Suaraku’. Tema ini terasa sangat dekat di hati. Ia membawa mesej bahawa suara anak-anak ini bukan sekadar didengari, tetapi diraikan, dihormati dan diangkat sebagai sebahagian daripada pembentukan masa hadapan negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO memaklumkan bahawa Program Advokasi Kanak-Kanak telah diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai ‘The Largest Child Protection Advocacy Programme’.

“Salah satu detik paling membanggakan ialah apabila Program Advokasi Kanak-Kanak telah diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai ‘The Largest Child Protection Advocacy Programme’ dengan penyertaan 128,148 kanak-kanak.

“Pengiktirafan sebesar ini menjadi bukti komitmen berterusan KPWKM dalam memastikan perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak berada pada tahap tertinggi.

“Majlis hari ini menyaksikan penganugerahan tujuh kategori penghargaan, bukan hanya kepada kanak-kanak cemerlang tetapi juga NGO yang banyak berbakti dalam pembangunan kanak-kanak.

“Saya masih terbayang wajah penuh bangga adik Mohamad Amirul Asyraf bin Khairul Azahar, penerima Pingat Hang Tuah 2025 yang menunjukkan keberanian luar biasa dalam situasi kecemasan. Saat namanya diumumkan, seluruh stadium berdiri memberi tepukan penghargaan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata Anugerah Gemilang dan Anugerah Khas untuk kanak-kanak berkeperluan khas (OKU) juga telah disampaikan.

“Turut disampaikan ialah Anugerah Gemilang dan Anugerah Khas yang mengiktiraf pencapaian cemerlang kanak-kanak dalam bidang akademik, sukan, seni, kebudayaan serta pencapaian luar biasa oleh kanak-kanak berkeperluan khas (OKU). Tahniah dan syabas diucapkan kepada para penerima anugerah.

“Hadir sama Datuk Dr Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, YM Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Daniel Haqeem Darul Hafiz, Pengerusi Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) dan para pegawai jabatan serta agensi,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO