Politik Hipokrit Pembangkang, Tak Sokong Belanjawan Tapi Minta Peruntukan

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad menyifatkan tindakan pembangkang yang tidak menyokong belanjawan kerajaan sebagai sikap tidak matang dan berpaksikan kebencian semata-mata.

Beliau berkata ini kerana Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan menyeluruh serta merangkumi pelbagai lapisan masyarakat.

“Apabila namanya pembangkang itulah kerja mereka membangkang semata-mata, tanpa menilai perkara yang baik. Kerana pada pandangan saya belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri ini sangat komprehensif, menyeluruh malah semua golongan menerima manfaat.

“Namun, biasalah pembangkang mereka minta itu dan ini, pelbagai tuntutan dibuat, tetapi akhirnya mereka tetap tidak menyokong. Kalau mereka menyokong, bagi mereka itu umpama mengalah.

“Sejak dulu sampai sekarang, tidak pernah pembangkang menyokong belanjawan kerajaan, walaupun belanjawan itu baik atau surplus. Dalam hati mereka tahu belanjawan itu bagus, tetapi tetap tidak mahu mengaku,” katanya.

Dr Azhar turut memaklumkan bahawa sikap hipokrit pembangkang ini bukan sahaja mencerminkan kelemahan prinsip politik mereka, malah memperlihatkan ketidakikhlasan dalam membela rakyat.

Katanya lagi, pemimpin pembangkang sewajarnya memberikan teguran dalam penambahbaikan namun tindakan mereka bersifat penolakan secara total.

“Kalau benar mereka tidak setuju, berilah cadangan alternatif. Berilah teguran atau penambahbaikan terhadap mana-mana bahagian belanjawan.

“Tetapi ini cadangan tiada, teguran pun tidak diberi, tetapi akhirnya mengatakan semua tidak bagus. Pada masa yang sama, mereka tetap meminta peruntukan,” ujar beliau.

Untuk rekod, Belanjawan 2026 adalah belanjawan keempat yang dibentangkan Kerajaan MADANI pimpinan Anwar, dan yang pertama bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO