Paku Dulang Paku Serpih: Isu Kereta EXCO Hanya Sensasi Murahan

JOHOR BAHRU, 23 Nov – Isu pertukaran kenderaan rasmi EXCO Johor yang cuba dijadikan sensasi oleh sesetengah pihak hari ini disifatkan sebagai tidak berasas dan hanya usaha mengalih perhatian daripada kelemahan lampau.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor, Mohd Syes Mohamed, fakta jelas menunjukkan pembelian Toyota Camry yang digunakan EXCO ketika ini telah diluluskan pada Februari 2020 oleh kerajaan negeri terdahulu di bawah pimpinan Menteri Besar ketika itu, Dr. Sahruddin Jamal.

“Lucunya, kereta yang mereka luluskan dahulu pun mereka sendiri tidak sempat pakai kerana kerajaan bertukar. Hari ini apabila kerajaan menggantikan kenderaan lama yang telah bertahun beroperasi, tiba-tiba ada pihak mahu jadikannya isu besar,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa polemik ini sebenarnya tidak lebih daripada “kekecewaan pihak tertentu kerana kereta yang mereka beli akhirnya digunakan oleh orang lain.”

Mohd Syes turut mengingatkan bahawa pada tahun 2019–2020, ketika kerajaan terdahulu mentadbir Johor, pencapaian negeri berada pada tahap tidak memberangsangkan – tiada pelaburan tertinggi, tiada projek pemangkin ekonomi besar-besaran dan tiada lebihan hasil negeri.

“Ketika prestasi ekonomi tidak ke mana, kereta baharu boleh pula dibeli tanpa sebarang drama. Tetapi hari ini, selepas Johor mencatat pelaburan tertinggi negara dan hasil negeri surplus, barulah mereka bangun menjadi ‘juara moral’,” ujarnya dalam satu kenyataan mengenai hal tersebut.

Beliau menjelaskan semua keputusan perolehan kerajaan hari ini dilakukan mengikut prosedur kewangan, tender serta tatacara perolehan yang sah.

“Kerajaan hari ini bekerja, bukan berlakon,” tegasnya.

Dalam masa yang sama, kerajaan negeri kini memberi tumpuan kepada agenda pembangunan rakyat seperti:
• penghapusan miskin tegar,
• penyediaan pekerjaan berpendapatan tinggi,
• perumahan mampu milik,
• pelaburan melebihi RM90 bilion bagi tahun 2025,
• serta transformasi ekonomi melalui projek JS-SEZ dan JETP.

Mohd Syes menyifatkan mereka yang membangkitkan isu kereta ini sebagai pihak yang cuba menutup kelemahan rekod pentadbiran sendiri.

“Apabila rekod sendiri tidak kukuh, isu kereta pun mahu dijadikan talian hayat. Tetapi rakyat Johor tidak mudah diperdaya. Mereka melihat hasil, kerja dan ketelusan, bukan sarkis politik,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Johor kini berada pada landasan kemajuan yang pesat, dan hanya mereka yang tertinggal akan berasa gelisah.

“Johor sedang maju. Yang gelisah hanya mereka yang tertinggal. Salam Maju Johor,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO