Melaka Catat Rekod Baharu Gerakan Koperasi – Rais
MELAKA, 22 Nov — Gerakan koperasi di Melaka terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila mencatat rekod tertinggi sejak 2018.
Demikian menurut Exco Kanan Negeri, Datuk Rais Yasin, yang mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Peringkat Negeri Melaka 2025 yang berlangsung di Courtyard by Marriott Melaka malam tadi.
Menurut Rais, Melaka kini mempunyai 504 koperasi berdaftar dengan lebih 173,000 anggota, menjadikan gerakan koperasi antara pemacu ekonomi rakyat yang paling aktif di negeri ini.
“Gerakan koperasi Melaka mencatat aset terkumpul RM598.66 juta dan perolehan melebihi RM181 juta. Ini peningkatan RM24.76 juta berbanding tahun sebelumnya, dan merupakan pencapaian terbaik sejak 2018,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau seterusnya berkata peningkatan itu didorong oleh tadbir urus yang cekap dan profesional, selain kejayaan koperasi di peringkat akar umbi seperti Koperasi Komong Melaka Berhad, yang mengusahakan 56 ekar ladang jagung, diperluas lagi 20 ekarhasil bantuan kerajaan negeri sebanyak RM800,000, serta kerjasama strategik melalui MOU bersama Golden Corn Sdn Bhd.
Datuk Rais turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memodenkan sektor koperasi melalui pelaksanaan pendigitalan keanggotaan, automasi operasi dan strategi pemasaran digital, yang dijangka menarik penyertaan generasi muda dan meningkatkan daya saing koperasi.
“Gerakan koperasi bukan sekadar aktiviti ekonomi. Ia adalah instrumen sosial yang membawa kesejahteraan terus kepada rakyat Melaka,” katanya.
Majlis turut dihadiri Tuan Allex Seah, EXCO Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna; Datuk Wira Salahah Salleh, Pegawai Kewangan Negeri; Datuk Tuminah Hashim, Timbalan EXCO Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna; YBhg Lt Jen (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal, Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia; serta Encik Mustafa Kamal Mohd Nor, Pengarah SKM Melaka. – UMNO Online
