Wan Rosdy Iringi Sultan Pahang, Tegaskan Komitmen Tenaga Mampan

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berbesar hati mengiringi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Majlis Jamuan Gala Serantau Asia Pasifik Masdar yang berlangsung di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis berprestij tersebut menyaksikan keberangkatan Sultan Pahang bagi Majlis Menandatangani Perjanjian antara Konsortium Masdar–Citaglobal–Tiza Global dan Pahang Water & Energy Resources (PWE).

“Majlis berkenaan turut menghimpunkan rakan-rakan kerjasama Masdar daripada kerajaan dan industri melibatkan negara-negara ASEAN.

“… yang merupakan pasaran utama bagi Masdar dalam usahanya mencapai portfolio kapasiti global sebanyak 100GW menjelang tahun 2030,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Wan Rosdy lagi, Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) menetapkan sasaran tinggi tenaga bersih serantau.

Katanya ini termasuk pengurangan 40 peratus dalam keamatan tenaga, 30 peratus perkongsian tenaga boleh diperbaharui dalam jumlah bekalan tenaga primer serta mencapai 45 peratus penjanaan tenaga boleh diperbaharui dalam kapasiti terpasang menjelang tahun 2030. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO