“Semoga Pemasyhuran Ini Jadi Pemangkin Perkasa Bidang Maritim Negara” – Saarani
KUALA LUMPUR, 21 Nov – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berharap agar pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah menjadi pemangkin untuk memperkasa bidang maritim negara.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak memaklumkan beliau telah hadir ke Majlis Pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah yang diadakan di Bagan Datuk pada Khamis.

“Turun ke Bagan Datuk pada Khamis untuk menghadiri Majlis Pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah.
“Merafak sembah dan menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan berangkat menyempurnakan majlis pemasyhuran ini.
“Turut berangkat, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah,” katanya.
Menurutnya, institusi tersebut telah ditubuhkan pada Disember 2016 dan dibangunkan dengan kos RM175 juta.

“Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah yang ditubuhkan pada Disember 2016 ini memulakan pengambilan pelajar sulungnya pada tahun 2017 melalui program Diploma Seni Bina Kapal menjadikan institusi ini satu-satunya politeknik TVET negara yang berfokus sepenuhnya kepada bidang maritim dan perkapalan.
“Dibangunkan dengan kos RM175 juta di atas tanah seluas 12.14 hektar, infrastruktur kampus ini telah siap sepenuhnya pada tahun 2023.
“Turut hadir ke majlis ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
“Semoga pemasyhuran ini menjadi pemangkin untuk memperkasa bidang maritim negara, sekali gus membuka lebih banyak peluang pendidikan, penyelidikan juga kerjaya kepada anak-anak Perak dan Malaysia. Insha-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online
