Melaka-Jiangxi Perkukuh Ruang Kerjasama Strategik
KUALA LUMPUR, 21 Nov – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengalu-alukan kunjungan hormat daripada Naib Gabenor Wilayah Jiangxi China, Zhang Ying dan delegasi pada semalam, bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Melaka dan Wilayah Jiangxi.
Menerusi satu hantaran di Facebook beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri memaklumkan Melaka sentiasa bersedia memperluaskan ruang kerjasama strategik dengan Jiangxi.
“Antaranya dalam aspek pelaburan dan pembangunan di Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SMWEZ).
“Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan di MCORP High Tech Park khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa dan kenderaan tenaga baharu (EV), seiring aspirasi Melaka menuju ekonomi berteknologi tinggi,” katanya.
Menurut beliau lagi, dengan populasi Wilayah Jiangxi yang mencecah 45 juta orang, Melaka turut melihat potensi besar dalam memperkukuh kerjasama pelancongan dan kebudayaan, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Melaka 2.0.
“Sinergi ini diyakini mampu memberi limpahan manfaat ekonomi dan membuka peluang baharu buat rakyat Melaka,” ujar beliau.
Turut bersama dalam delegasi Jiangxi ialah Timbalan Pengarah Pejabat Hubungan Luar Wilayah Jiangxi, Li Yuqiang serta Timbalan Pengarah Bahagian Sumber Air Wilayah Jiangxi, Chen Hekai.
Kerajaan Negeri Melaka pula diwakili oleh Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong. – UMNO Online
