Isu Tuntutan: Cara Penyelesaian Bermanfaat Kepada Rakyat Kedah Perlu Direkayasa
KUALA LUMPUR, 21 Nov – Pengarah Komunikasi UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berpandangan bahawa cara penyelesaian untuk isu tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang perlu direkayasakan supaya ia boleh memberi manfaat kepada rakyat.
Syed Mohd Johan yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, isu tersebut lebih menjurus ke arah untuk memperbetulkan sejarah dan menyelesaikan isu yang tertangguh selama beratus tahun.

“Semua sudah faham isu antara Kedah dan Pulau Pinang ini tidak ada kena mengena dengan isu nak ambil atau jadi wilayah jajahan semula. Tetapi, lebih kepada nak memperbetulkan fakta sejarah dengan isu-isu yang tidak diselesaikan selama beratus tahun sebelum ini.
“Lebih penting, nak mengkaji semula bab isu pajakan dan pampasan kepada Negeri Kedah atas hak-hak yang terpaksa dikorbankan selama ini. Kalau betul-betul nak tolong Kedah, bukan dengan cara kita main sentimen macam kerajaan negeri cuba buat hari ini.
“Cara penyelesaian sebenar yang boleh memberi manfaat kepada rakyat perlulah direkayasakan. Kita tidak mahu bergaduh kosong. Macam yang selalu kita saksikan ini adalah retorik semata-mata,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, Kedah perlu mendapat pampasan khusus untuk menjaga kawasan tadahan air Ulu Muda dan Sungai Muda yang turut dinikmati oleh Pulau Pinang.
“Perkara pertama model pampasan yang saya nak cadangkan adalah Model Pampasan Air Tadahan Ulu Muda yang turut dinikmati oleh dunia. Pertama, Kedah perlu dapat pampasan khusus untuk jaga kawasan tadahan air Ulu Muda dan Sungai Muda secara keseluruhannya.
“Ini kerana negara lain kalau negeri simpan hutan untuk negeri jiran pun mereka wujudkan skim ‘Payment for Ecosystem Services’ (PES). Ini boleh dicadangkan di dalam perbincangan negeri yang menerima manfaat bayar pampasan yang setimpal… manakala negeri yang jaga hutan dapat dana tetap dan berskala.
“Dalam konteks Kedah dan Pulau Pinang ini, Pulau Pinang dapat air…Kedah hilang peluang ekonomi. Jadi, pampasan tahunan bukan sahaja logik tetapi wajib untuk melestarikan Kedah ini supaya tidak ketinggalan,” katanya lagi.
Tambahnya, semakan semula bayaran pajakan mengikut nilai semasa tanpa mengganggu Perlembagaan juga boleh dilakukan sebagai salah satu jalan penyelesaian terhadap isu ini.
“Cadangan kedua adalah kita buat semakan semula bayaran pajakan ikut nilai semasa tanpa mengganggu gugat isu perlembagaan. Bayaran RM10,000 setahun itu memang tidak masuk akal dan tidak sesuai dengan keadaan serta situasi pada masa kini.
“Tetapi solusinya bukanlah menjerit-jerit ‘ini hak kita, kita nak ambil semula Pulau Pinang’ sebab itu adalah satu kenyataan yang secara terang melanggar Perlembagaan. Memang tidak akan berlakulah perkara tersebut.
“Jadi, apakah cara yang betul? Semak semula nilai pajakan tersebut melalui Kerajaan Persekutuan. Sebab Persekutuan yang bayar selama ini. Jadi, semakan nilai ini boleh berpandukan inflasi ataupun kos semasa hasil hutan yang kita hilang. Kemajuan yang Pulau Pinang kecapi hasil daripada bekalan air mentah Kedah.
“Nilai (pampasan) itu ikutlah model yang dicadangkan. Tetapi, perkara ini sebenar-benarnya perlu dibentangkan di Parlimen, bukan buat drama nak ambil balik Pulau Pinang di pentas ceramah politik ataupun di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilihat ‘syok sendiri’,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
