Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah Berpotensi Jadi Hab Kecemerlangan TVET – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 20 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah di Bagan Datuk sebagai simbol keprihatinan institusi diraja terhadap pembangunan pendidikan teknikal dan masa depan anak muda.
Beliau yang juga Presiden UMNO menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim atas limpah perkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah di Bagan Datuk pagi tadi.
“Alhamdulillah, patik serta seluruh warga Bagan Datuk menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran atas keberangkatan Duli-Duli Tuanku ke tanah bertuah ini sekali lagi.
“Keberangkatan ini amatlah bermakna, mencerminkan keprihatinan Duli-Duli Tuanku terhadap pendidikan tinggi teknikal, pembangunan modal insan dan masa depan anak-anak muda di negeri Perak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid berkata, politeknik tersebut akan menjadi pusat ilmu, inovasi dan latihan maritim strategik selaras dengan Dasar TVET Negara 2030 serta aspirasi Perak Sejahtera 2030.
Menurut beliau lagi, dengan kedudukan Bagan Datuk sebagai kawasan maritim yang penting, politeknik ini bakal melahirkan generasi pelaut, jurutera dan teknokrat maritim berkemahiran tinggi.
“Di bawah nama dan naungan Tuanku, insya-Allah politeknik ini akan terus berkembang sebagai pusat kecemerlangan TVET maritim di Pantai Barat Malaysia dan pemangkin kemajuan ekonomi sekali gus menjadi kebanggaan rakyat Perak serta negara,” ujar beliau. – UMNO Online
