Jawatankuasa Kerjasama Awam Swasta Platform Penting Perkukuh Kerjasama Strategik
KUALA LUMPUR, 20 Nov – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, memaklumkan Jawatankuasa Kerjasama Awam Swasta (JKAS) menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan pihak swasta.
Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri meluahkan keyakinan bahawa sinergi tersebut akan membawa manfaat yang besar kepada rakyat serta mempercepatkan kemajuan Melaka.
“JKAS terus berperanan sebagai jambatan antara kerajaan dan sektor swasta bagi memacu pelaburan, merancakkan ekonomi dan memperkukuh infrastruktur negeri.
“Kerajaan Negeri Melaka akan terus komited memastikan setiap inisiatif yang dibincangkan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan, seterusnya menjadikan Melaka sebuah negeri yang progresif, kompetitif dan sejahtera,” katanya.
Ab Rauf berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi Mesyuarat JKAS yang diadakan pagi tadi.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad, bersama barisan ahli mesyuarat.
Terdahulu menerusi hantaran berbeza beliau turut berkongsi kehadirannya pada Mesyuarat Pre Council yang dipengerusikannya bagi Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Keempat, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas di Bilik Mesyuarat MMKN, Seri Negeri.
Menurut beliau mesyuarat ini merupakan langkah penting dalam memastikan perjalanan persidangan nanti berlangsung dengan teratur dan berfokus.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad.
Dalam pada itu Ab Rauf turut mengharapkan persidangan kali ini yang dijadualkan dari 5 hingga 10 Disember dapat memacu hala tuju negeri yang lebih progresif dan berdaya saing.
“Tumpuan utama pastinya terarah kepada pembentangan Bajet 2026 Negeri Melaka, yang bakal menggagaskan agenda pembangunan inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat.
“Semoga sesi persidangan kali ini menjadi medan perbahasan yang matang, penuh iltizam serta selari dengan hasrat kita untuk membawa Melaka ke hadapan dengan dasar yang berpaksikan kepentingan rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online
