Strategi Pembangunan Industri REE Bakal Dilaksana Secara Berfasa – Johari
KUALA LUMPUR, 19 Nov – Kerajaan telah bersetuju agar strategi pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) dilaksanakan secara berfasa, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Jelasnya, pembangunan industri REE ini tidak dapat dilaksanakan dengan pantas kerana negara masih belum mempunyai kepakaran dan teknologi tempatan untuk melaksanakan aktiviti perlombongan.

“Walaupun Malaysia mempunyai sumber REE yang signifikan, pembangunannya tidak dapat dilaksanakan dengan pantas disebabkan beberapa cabaran utama.
“Pertama, negara masih belum mempunyai kepakaran dan teknologi tempatan pada skala komersial untuk melaksanakan aktiviti perlombongan REE. Situasi ini menyebabkan negara terpaksa bergantung kepada teknologi luar untuk menjalankan aktiviti perlombongan.
“Sebagai contoh perlombongan REE pertama yang kita buat adalah di Kenering, Perak. Kita bekerjsama dengan MCRE Sdn Bhd, syarikat daripada China. Kemudian, dari segi pemprosesan REE tersebut kita ada satu syarikat LYNAS yang datang membawa REE mereka dari Australia dan memproses REE kita di syarikat mereka di Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Soal Jawab Menteri di Parlimen sebentar tadi.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ketiadaan loji pemprosesan yang mampu memisahkan unsur REE bernilai tinggi turut menjadi kekangan.
“Kedua, Malaysia juga masih belum mempunyai loji pemprosesan yang mampu memisahkan unsur REE bernilai tinggi secara komersial.
“Pada masa ini, rantaian nilai global untuk pemprosesan dan pemisahan REE didominasi oleh China termasuk kawalan eksport teknologinya. Kekangan ini menyukarkan Malaysia membangunkan keseluruhan rantaian nilai daripada perlombongan, pemprosesan hingga penghasilan produk bernilai tambah.
“Ketiga, negara berdepan kekurangan data yang komprehensif berhubung lokasi, kuantiti, gred dan status guna tanah sumber asli REE. Anggaran awal REE oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) masih di peringkat sumber teragak dan memerlukan kajian terperinci lanjutan bagi menentukan jumlah sebenar yang boleh dilombong secara ekonomi dan lestari,” katanya lagi.
Tambahnya, dasar kerajaan untuk menjamin keselamatan alam sekitar turut mengehadkan pemilihan lokasi sesuai bagi pembangunan industri tersebut.
“Akhir sekali, dasar kerajaan yang tidak membenarkan perlombongan dalam kawasan sensitif seperti hutan simpan kekal (HSK), kawasan sensitif alam sekitar (KSAS), kawasan tadahan air dan rizab perlindungan turut mengehadkan pemilihan lokasi yang sesuai bagi pembangunan industri ini.
“Langkah ini penting untuk menjamin keselamatan alam sekitar namun pada masa yang sama memerlukan pendekatan berhati-hati bagi mengimbang pembangunan industri dan pemeliharaan sumber semula jadi,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa dasar moratorium pengeksportan mentah REE dikekalkan untuk menggalakkan pelaburan.
“Kerajaan telah bersetuju supaya strategi pembangunan industri REE ini dilaksanakan secara berfasa meliputi jangka pendek (2025-2027), jangka sederhana (2027-2030) dan jangka panjang selepas 2030.
“Pada masa jangka pendek, dasar moratorium pengeksportan mentah REE dikekalkan bagi menggalakkan pelaburan dan juga loji penulenan, pemisahan serta penghasilan produk bernilai tambah dalam negara,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
