Peruntukan Tenaga Lestari Turun… Tenggara Minta Kementerian Buat Penilaian Semula

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib memohon agar Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) membuat penilaian semula terhadap penurunan mendadak peruntukan Tenaga Lestari bagi tahun 2026.

Beliau turut mempersoalkan mengenai jumlah peruntukan yang diberikan untuk pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) agenda Tenaga Boleh Baharu (TBB).

“Tenggara ingin mengetahui mengapa berlaku penurunan yang sangat drastik ini dan berapakah jumlah peruntukan diberi untuk pelaksanaan R&D bagi membantu sumbang kepada agenda TBB?

“Adakah terdapat sebarang kerjasama antara agensi ataupun kementerian? Adakah terdapat sebarang geran disediakan untuk menyokong agenda TBB ini?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Ujarnya, kepesatan teknologi baharu mengenai sumber tenaga daripada getah yang kini digunakan oleh Taiwan boleh diberi perhatian sebagai TBB di negara ini.

“Saya ada terbaca berkaitan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA). Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ada umum tentang ‘rubber fuel’. Mungkin pihak PETRA boleh lihat bagaimana untuk kita bantu dalam melaksanakannya.

“Terkini, apabila dilakukan lawatan ke Taiwan baru-baru ini dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), kita menemui dua kemungkinan. Pertama, getah ini boleh jadi diesel dan gas.

“Kedua, apabila kita ke Taiwan… sebenarnya dah 15 tahun mereka menggunakan tayar terpakai untuk menghasilkan tenaga daripada minyak. Minyak tersebut digunakan untuk menjana generator bagi penghasilan tenaga elektrik. Saya rasa ini perkara yang mungkin boleh diberi perhatian,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, penilaian semula terhadap peruntukan tersebut juga perlu disinergikan bersama agensi-agensi dan kementerian-kementerian lain untuk melihat potensi tenaga baharu.

“Geran ataupun peruntukan bawah peruntukan 020200 yang merosot daripada RM15.07 juta kepada RM4.07 juta ini sepatutnya diberi penilaian semula sebab ada beberapa perkara yang mungkin boleh di sinergikan di antara PETRA, MOSTI dan sebagainya termasuk kementerian lain untuk melihat potensi tenaga baharu,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO