PERKIM Terus Jadi Ejen Penyatuan Dan Dakwah – Jalaluddin
KUALA LUMPUR, 19 Nov – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menzahirkan penghargaan terhadap usaha dan dedikasi warga Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Sembilan dalam memartabatkan dakwah dan kebajikan masyarakat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-57 & Apresiasi PERKIM Negeri Sembilan 2025.
“Alhamdulillah, sebuah majlis yang penuh makna dalam menghargai jasa, keringat dan kesungguhan warga PERKIM yang telah berbakti dalam lapangan dakwah serta kebajikan sejak sekian lama.
“PERKIM Negeri Sembilan bukan sekadar sebuah pertubuhan, tetapi sebuah gerakan kasih sayang yang sentiasa hadir membantu ummah mendekati masyarakat, membimbing rakan sepakat, memperkukuh syiar Islam dan menghulurkan bantuan tanpa mengira latar belakang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Jalaluddin dalam pada itu meluahkan harapan agar PERKIM terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Semoga PERKIM terus melangkah ke hadapan dengan visi yang lebih besar, menjadi jambatan perpaduan, penyebar rahmah dan pencetus perubahan positif dalam masyarakat.
“Tahniah PERKIM Negeri Sembilan atas ulang tahun ke-57. Teruskan khidmat, teruskan bakti,” ujar beliau. – UMNO Online
