Johor Laksana Projek Tanah Perkuburan Baharu, Tangani Kekangan Ruang

KUALA LUMPUR, 19 Nov – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid memaklumkan kerajaan negeri sedang melaksanakan beberapa projek tanah perkuburan baharu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata ia bagi menangani kekangan ruang di kawasan bandar yang kini hampir mencapai kapasiti maksimum.

“Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengambil maklum bahawa beberapa tanah perkuburan di kawasan bandar kini telah mencapai kadar penggunaan antara 80 hingga 95 peratus, seperti di Bukit Alif, Sungai Danga dan Taman Impian Emas.

“Pertumbuhan penduduk dan pembangunan pesat menuntut kita membuat perancangan jangka panjang yang lebih strategik,” katanya.

Mohd Fared berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook, bagi menjawab Datuk Ramlee Bohani (BN-Kempas) dan Datuk Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) di Sidang Dewan berhubung keperluan tanah perkuburan Islam di kawasan bandar.

Menurut beliau, bagi memastikan kemudahan ini kekal mencukupi, beberapa projek tanah perkuburan baharu sedang dilaksanakan antaranya Tanah Perkuburan Islam (TPI) Bukit Rodziah Gelang Patah seluas 10.26 ekar yang dijangka siap Mei 2026.

Seterusnya TPI Taman Setia Eco Gardens seluas 5.08 berkeluasan yang dijangka siap 2026 dan TPI Utara Stadium Mount Austin berkeluasan 12.03 ekar yang kini sedang dibangunkan oleh pemaju.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri juga telah melaksanakan Pelan Induk Perkuburan Islam Negeri Johor.

“Ia membabitkan kajian kapasiti 10 hingga 15 tahun, pewartaan tapak baharu dan pematuhan ketat Garis Panduan Perancangan Negeri Johor yang mewajibkan pemaju menyediakan kawasan kubur atau menyumbang kepada Tabung Amanah Perkuburan.

“Komitmen kita jelas tiada kawasan bandar yang terputus daripada kemudahan tanah perkuburan Islam, setiap daerah mesti mempunyai rizab sekurang-kurangnya 20 tahun.

“Malah kelestarian, keperluan syarak dan kesejahteraan masyarakat kekal sebagai keutamaan. Kerjasama antara kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, MAINJ, JAINJ serta pemaju amat penting demi menjaga keperluan umat Islam hari ini dan generasi akan datang,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO