Noraini Hargai Pendekatan Kreatif ISM, Angkat Isu Sosial Melalui Drama

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menghargai pendekatan kreatif Institut Sosial Malaysia (ISM) yang mengangkat isu sosial melalui pembikinan drama.

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah hadir ke pelancaran dua drama pendek terbitan ISM di bawah Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat (KPWKM).

“Hari ini saya menghadiri pelancaran dua drama pendek terbitan ISM di bawah KPWKM bertajuk ‘Takdir Yang Mengerti Aku’ dan ‘Bertahan Terluka’. Majlis telah disempurnakan oleh Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Kedua-dua drama ini diadaptasikan daripada buku Tiada Yang Mustahil Edisi 3: Keusahawanan Orang Kurang Upaya (OKU) – Genggam Bara Api Biar Sampai Jadi Arang, yang menghimpunkan kisah benar para usahawan OKU.

“Semasa mendengar latar pembikinan drama dan melihat sedutan kisah mereka, saya benar-benar tersentuh. Setiap watak membawa semangat yang luar biasa, berani, cekal dan tetap melangkah walaupun diuji berkali-kali. Ia mengingatkan saya bahawa kekuatan itu bukan sekadar fizikal, tetapi tekad yang tidak pernah padam,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa pembikinan dua buah drama tersebut selari dengan semangat dasar OKU negara bahawa setiap individu berhak diberi peluang yang adil untuk hidup.

“Saya menghargai pendekatan kreatif ISM ini. Mengangkat isu sosial melalui drama menjadikan mesej lebih mudah difahami dan lebih dekat dengan masyarakat. Ia selari dengan semangat dasar OKU negara di mana setiap individu, tanpa mengira upaya, berhak dihormati, disokong dan diberi peluang yang adil untuk hidup bermaruah.

“Kisah komuniti OKU ini mengingatkan saya bahawa setiap langkah kecil yang mereka ambil sering disulami keberanian besar. Drama ini bukan sekadar tontonan tetapi ia adalah cermin yang membuka mata kita tentang erti ketabahan dan maruah. Tahniah ISM!” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO