KESUMA Laksana Program Strategik Tarik Tenaga Mahir Malaysia Pulang Berkhidmat

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memaklumkan satu rangka kerja komprehensif dilaksana bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai akses kepada peluang pekerjaan yang lebih baik dalam negara.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata langkah ini bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerjaan di luar negara seperti Singapura, Australia dan Korea Selatan.

“Bagi menangani tarikan Singapura terhadap tenaga kerja mahir Malaysia, TalentCorp telah melaksanakan Program Knowledge Worker khusus di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura atau JS-SEZ.

“Melalui program ini, diaspora Malaysia yang kembali bekerja dalam sektor berkemahiran tinggi di kawasan tersebut layak menikmati kadar cukai rata 15 peratus selama 10 tahun.

“Ini adalah langkah strategik untuk menjadikan ekosistem kerja domestik lebih kompetitif berbanding negara jiran,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian menjawab soalan daripada Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) berkenaan pendekatan khusus komprehensif yang diambil oleh kerajaan dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dalam negara.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata kerajaan juga mengubah fenomena brain drain kepada brain circulation melalui inisiatif Malaysia@Heart (MyHeart).

Menurut beliau melalui MyHeart, rakyat Malaysia di luar negara kekal terhubung dengan peluang ekonomi, sosial dan budaya di tanah air.

“Mereka boleh menyumbang kepakaran, jaringan serta pengalaman global mereka tanpa perlu berpindah pulang sepenuhnya. Ini memastikan pembangunan negara terus mendapat manfaat daripada modal insan bertaraf dunia.

“Selain itu, dalam memastikan tenaga kerja tempatan dilengkapi kemahiran yang relevan, TalentCorp telah menubuhkan 18 Future Skills Talent Council atau MyMahir FSTC yang dipacu industri.

“Melalui tinjauan permintaan bakat yang dijalankan, industri memaklumkan bahawa 46,511 tenaga kerja diperlukan merentasi pelbagai sektor sehingga September 2025. Setakat September 2025, 102 program latihan sedang berjalan melibatkan hampir 4,000 pelatih tempatan,” ujar beliau.

Sementara itu menurut beliau melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), kerajaan turut menyasarkan pewujudan 3.3 juta pekerjaan berkemahiran dan separa mahir menjelang 2030.

Katanya inisiatif ini diperkukuh dengan pelaksanaan Dasar TVET Negara 2030 serta program Akademi Dalam Industri (ADI) yang menggunakan pendekatan work-based learning dengan pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

“Langkah ini memastikan pekerja tempatan benar-benar bersedia mengisi peluang pekerjaan bernilai tinggi yang diwujudkan oleh sektor industri,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO