Belanjawan 2026: ‘Pembangkang Hanya Tahu Minta, Tapi Enggan Sokong’
KUALA LUMPUR, 18 Nov – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menyelar tindakan pembangkang yang meminta peruntukan daripada kerajaan tetapi enggan menyokong Belanjawan 2026.
Menurut beliau, tindakan pembangkang itu memperlihatkan sikap hipokrit dan tidak konsisten kerana pada masa sama turut mengkritik kerajaan secara berlebihan.
“Pembangkang daripada dahulu begini, tahu minta tapi tak pernah sokong.
“Belanjawan kali ini sebenarnya tiada isu besar pun.
“Berdasarkan pengamatan saya di akar umbi, ramai yang berpuas hati dengan belanjawan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri,” katanya.
Azhari berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersikap adil dan menyeluruh dalam membantu rakyat, tanpa mengira negeri itu ditadbir oleh kerajaan perpaduan atau pembangkang.
“Mereka kutuk kerajaan, cakap macam-macam tapi bila perlu tidak malu minta juga. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.
“Padahal mereka tahu belanjawan ini yang terbaik dan menyeluruh untuk manfaat rakyat,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri menegaskan Belanjawan 2026 yang juga belanjawan keempat bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, adalah hala tuju bagi memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.
Belanjawan ini juga yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
