Noraini Sampaikan Sumbangan… Suntik Keyakinan Para Usahawan

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah menyampaikan sumbangan kepada para usahawan desa Kampung Angkat Madani di Batu Pahat pada Ahad.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memaklumkan para penerima sumbangan tersebut terdiri daripada usahawan mikro yang menjalankan perniagaan kecil.

“Saya telah hadir ke majlis penyerahan geran keusahawanan kepada 45 usahawan desa di bawah Program Kampung Angkat Madani. Para penerima terdiri daripada usahawan mikro yang menjalankan perniagaan kecil seperti makanan, kraftangan, pertanian kecil, perkhidmatan harian dan lain-lain.

“Program Kampung Angkat Madani diwujudkan dengan objektif memperkasa ekonomi desa dan meningkatkan pendapatan keluarga melalui bantuan modal perniagaan, bimbingan serta latihan asas keusahawanan, pembangunan kapasiti untuk mengurus perniagaan dengan lebih sistematik termasuk penyediaan peluang kepada penduduk kampung untuk menjana pendapatan baharu,” katanya.

Mengulas lanjut beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan berharap agar sumbangan tersebut dapat membawa banyak kebaikan termasuk peluang-peluang baharu.

“Setiap bantuan yang disampaikan hari ini bukan sekadar angka, tetapi suntikan keyakinan untuk para usahawan meneruskan usaha keras mereka. Ekonomi setempat hanya dapat berkembang apabila usahawan desa diberikan sokongan yang konsisten dan peluang untuk memperluas kapasiti perniagaan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Ketua-ketua Kampung, para usahawan, para pelajar serta ibu bapa dan seluruh urusetia yang telah menjayakan kedua-dua majlis ini.

“Semoga hari ini menjadi permulaan kepada lebih banyak kebaikan, lebih banyak peluang dan lebih banyak kejayaan untuk semua. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO