Lebarkan Jalan Bukit Putus Hingga Ke Ulu Bendul, Tangani Kesesakan Waktu Puncak

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan memohon Kementerian Kerja Raya untuk mempertimbangkan pembesaran jalan daripada Bukit Putus hingga ke Kampung Sawah Liat, Ulu Bendul.

Menurut beliau langkah ini penting kerana jalan berkenaan merupakan laluan utama yang menghubungkan Kuala Pilah dan Seremban dan sering mengalami kesesakan jalan raya terutama pada waktu puncak.

“Perjalanan daripada Seremban ke Kuala Pilah selalunya mengambil masa 30 hingga 45 minit sahaja tetapi di waktu kesesakan trafik ianya akan mengakibatkan kesesakan sehingga lima hingga ke tujuh jam. Saya mencadangkan agar pembesaran jalan daripada Bukit Putus hingga ke Kampung Sawah Liat, Ulu Bendul diteruskan.

“Kerana asal matlamat penjajaran atau pelebaran jalan tersebut adalah untuk pembesaran FT51 di antara Seremban ke Kuala Pilah tetapi ianya telah dihentikan separuh jalan.

“Oleh demikian saya mencadangkan agar pelebaran tiga lorong, jika kos melibatkan pada asalnya empat lorong agak tinggi kosnya tetapi dengan adanya cadangan pelebaran tiga lorong ada adjustment boleh dibuat apabila berlakunya kesesakan trafik pada setiap masa,” katanya

Adnan berkata demikian Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 Peringkat Jawatankuasa KKR di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut beliau turut sama menyentuh berkenaan status terkini projek Jalan Pintas Tanjung Ipoh–Beting, yang menurut Adnan telah lama menjadi harapan penduduk setempat bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan jalan raya.

“Dimaklumkan terdapat dua fasa yang telah diluluskan iaitu fasa satu, Tanjung Ipoh–Beting, fasa dua Tanjung Ipoh–Ulu Bendul.

“Memandangkan projek ini telah berada dalam radar perancangan kementerian untuk tempoh yang agak lama, Kuala Pilah ingin mendapatkan penjelasan mengenai status terkini, termasuk kemajuan Value Assessment dan Value Engineering untuk kedua-dua fasa, garis masa bagi kerja reka bentuk dan tender, serta anggaran jadual pelaksanaan fizikal di tapak.

“Kuala Pilah berharap agar projek ini dapat dipercepatkan kerana ia membawa nilai yang besar terhadap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, pengurangan kesesakan serta peningkatan akses ekonomi di kawasan sekitar Tanjung Ipoh, Terachi dan Beting,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO