Cadangan Pelaksanaan ANPR, JustGo Selaras Transformasi Digital Infrastruktur Negara

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan memaklumkan cadangan pengesanan automatik nombor plat kenderaan (ANPR) yang dipautkan kepada sistem JustGo bagi tujuan pembayaran tol adalah selaras dengan hala tuju ke arah transformasi digital infrastruktur negara.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ia sekaligus menyediakan sistem tol yang lebih efisien selain dapat melancarkan operasi tol.

“Beberapa parameter penilaian telah ditetapkan oleh pihak Lembaga Lebuhraya Malaysai (LLM) bagi pelaksanaan Ujian Rintis Awam sistem tol Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) secara ANPR.

“Antaranya seperti memastikan penggunaan sistem ANPR yang berkeupayaan tinggi dalam mengesan dan mengenal pasti nombor plat kenderaan dengan tepat bagi memastikan caj tol dikenakan kepada pengguna yang betul.

“Menambah baik kelajuan transaksi di lorong tol berbanding mod pembayaran tol lain sedia ada kerana reka bentuk sistem tol secara ANPR berkeupayaan mengesan nombor plat kenderaan yang lebih pantas sebelum dihantar ke sistem back end untuk proses pembayaran tol melalui platform digital.

“Memastikan keselamatan dan ketelusan sistem dalam melindungi data peribadi pengguna selaras dengan Akta Personal Data Protection Act (PDPA 2010),” katanya menjawab soalan daripada Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) berkenaan parameter penilaian pelaksanaan ujian rintis ANPR serta perkembangan terkini penggunaan aplikasi JustGo di lebuh raya.

Menurut Ahmad lagi, perkembangan terkini penggunaan aplikasi JustGo di lebuh raya tol masih di peringkat pengujian secara dalaman di antara pihak LLM dan syarikat konsesi PLUS.

Katanya ia melibatkan pengguna terpilih, bagi memastikan kesediaan sistem sepenuhnya sebelum diperkenalkan kepada pengguna lebuh raya melalui pelaksanaan Ujian Rintis Awam kelak.

Mengulas lanjut kata beliau pelaksanaan sistem kutipan tol Secara Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) adalah merupakan inisiatif kerajaan yang antara lain bertujuan untuk menghapuskan halangan perjalanan di dalam lebuh raya.

Ahmad berkata ini termasuk kesesakan di palang tol yang disebabkan oleh kapasiti pemprosesan pembayaran tol dan kekangan untuk penambahan lorong tol disebabkan keluasan kawasan plaza tol yang terhad.

“Pelaksanaan sistem MLFF ini dirangka dengan mengambil kira penjimatan 100 peratus masa pembayaran tol berbanding kaedah kutipan tol sedia ada.

“KKR mengakui keperluan kajian matrix kebolehpercayaan masa untuk mendapatkan gambaran impak sebenar pelaksanaan MLFF bagi menilai halangan lain yang kritikal selepas ketiadaan plaza tol di lebuh raya bagi tujuan pembayaran tol,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO