2,041 Mahasiswa Johor di UPM Terima Bantuan One-Off
SERDANG, 16 Nov – Seramai 2,041 mahasiswa anak Johor yang menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima bantuan tunai one-off RM200menerusi inisiatif Kerajaan Negeri Johor yang disalurkan melalui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).
Bantuan berkenaan diagihkan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Mahasiswa Negeri Johor (PERKASA) yang dipimpin Nur Alea Osmahaizie Mohd Khairi, sebagai usaha memastikan kebajikan mahasiswa Johor terus diberi perhatian sepanjang tempoh pengajian.
Program berkenaan turut melengkapkan ekosistem sokongan pendidikan negeri, termasuk Inisiatif Mahasiswa Johor (IMAJ), Skim Bantuan Pendaftaran IPT serta Skim Pinjaman Pelajaran IPT.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Najib Samuri, yang hadir pada majlis penyerahan berkata bantuan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa modal insan Johor.
Majlis turut disertai Lt. Kol. (PA) Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah, Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej Kediaman merangkap wakil kepada Timbalan Naib Canselor (HEPA), serta Pengurus Besar YPJ, Puan Hajah Nor Azleena Abdul Rahman.
“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, atas kepimpinan dan komitmen beliau dalam memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan,” kata Najib.- UMNO Online
