Program ‘HEBAT’ Melaka Platform Rakyat Suarakan Isu Untuk Penyelesaian – Rais
KUALA LUMPUR, 14 Nov – Program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Bersama Rakyat (HEBAT) Negeri Melaka Siri Dua sekali lagi mencuri tumpuan apabila berjaya menarik masyarakat di negeri berkenaan untuk melontarkan permasalahan setempat sekaligus mencerminkan keberkesanan pendekatan kerajaan negeri mendekati rakyat secara langsung.
EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin, yang mengetuai portfolio beliau dalam sesi libat urus tersebut menerima 142 aduan melibatkan isu perumahan, kebersihan, saliran, perkhidmatan PBT serta keperluan komuniti setempat.
Menurut Rais, program yang dianjurkan atas inisiatif Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan setiap suara rakyat didengari tanpa sebarang jurang birokrasi.
“Hampir lima jam saya dan pasukan berada di kaunter bagi mendengar sendiri aduan rakyat. Setiap aduan akan diteliti dan diambil tindakan sewajarnya demi kesejahteraan rakyat Melaka,” katanya kepada UMNO-Online.
Antara kes yang mendapat perhatian segera ialah permohonan seorang peniaga OKU di Taman Seri Krubong untuk mendapatkan kebenaran berniaga di hadapan kediamannya. Rais terus memberikan surat sokongan dan mengarahkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mempermudah proses berkenaan.
Program HEBAT Melaka Siri 2 semalam diteruskan sebagai platform rasmi kerajaan negeri untuk mendekatkan rakyat dengan EXCO dan agensi kerajaan secara bersemuka, sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam di Melaka. – UMNO Online
