Tenggara Cadang MOTAC Bangun Platform e-dagang Untuk Produk Kraf Tangan Tempatan
KUALA LUMPUR, 13 Nov – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib mencadangkan agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membangunkan platform e-dagang untuk produk kraf tangan tempatan.
Ujarnya, kerajaan perlu memberi tumpuan strategik untuk membangunkan industri kraf tangan Malaysia kerana ia merupakan hasil kreativiti masyarakat setempat.

“Tenggara nak minta kerajaan untuk beri tumpuan strategik dan serius bagi pembangunan industri kraf tangan melibatkan hasil kreativiti masyarakat setempat, FELDA serta Orang Asli. Beri penekanan terhadap penghasilan kraf tangan yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara. Apakah usaha kerajaan untuk memperkukuhkan rantaian kraf tangan dari reka bentuk, pengeluaran dan pemasaran dalam serta luar negara?
“Selain itu Tenggara juga minta MOTAC untuk bangunkan platform e-dagang khusus kepada produk kraftangan tempatan dari komuniti luar bandar, FELDA dan Orang Asli. Disamping itu, sediakan latihan digital agar mereka dapat kuasai kemahiran pemasaran dalam talian. Laksanakan juga kerjasama dengan platform sedia ada seperti Shopee, Lazada dan TikTok.
“Dari butiran ini juga saya nak cadang kepada MOTAC untuk laksana kerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi (IPTA), institusi TVET, Giat Mara, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan lain-lain. Wujudkan aliran TVET Kraftangan rangkumi reka bentuk hingga ke pengurusan perniagaan untuk lahirkan tenaga mahir dalam bidang artisan moden atau pereka kraftangan profesional,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan bagaimanakan peruntukan RM500 juta untuk penganjuran Visit Malaysia 2026 (VM2026) diguna pakai.
“Tenggara nk tanya bagaimana peruntukan bajet VM2026 diguna pakai? Adakah mengikut pecahan, keluasan negeri, jumlah penduduk (per kapita), kedudukan geografinya sama ada bersempadan antarabangsa atau pada pemilikan aset pelancongan utama?
“Apakah bentuk program dan acara yang akan dianjur atau sedang direncana? Tenggara harap, segala acara yang dianjur kelak tidak mengenetepikan nilai ketimuran dan keindahan budaya tempatan. Paling penting, citra agama Islam dijadikan sebagai asas jati diri negara.
“Ketiga, apakah elemen ‘wow factor’ yang mampu rancakkan pelancongan domestik? Sebagai contoh, subsidi minyak naik, potongan cukai, diskaun dan lain-lain. Ini adalah untuk memastikan Ringgit dapat mengalir ke dalam negara,” katanya lagi. – UMNO Online
