KPK Cadang Tingkat Nilai Kos Tanam Semula Sawit – Johari

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bercadang untuk meningkatkan nilai kos tanam semula sawit, kata Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menurutnya, kadar penanaman semula sawit Malaysia pada tahun 2024 adalah rendah berbanding yang disasarkan.

“Kadar penanaman semula sawit Malaysia pada tahun 2024 adalah sekitar 2.0 peratus. Kadar ini adalah rendah berbanding kadar penanaman semula sawit yang disasarkan pada kadar ideal sebanyak empat hingga lima peratus setahun. KPK sentiasa prihatin dan berusaha dalam mengatasi isu ini, berpunca daripada kos semasa yang tinggi untuk penanaman semula sawit.

“Untuk tujuan ini, kerajaan telah menyediakan peruntukan di bawah Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) yang merupakan bantuan secara hibrid iaitu 50 peratus geran dan 50 peratus pinjaman. Sebanyak RM100 juta telah disediakan kepada KPK bagi tahun 2024 dan sebanyak RM50 juta bagi tahun 2025.

“Sepanjang pelaksanaan program ini, KPK telah mengenal pasti kos yang semakin tinggi dalam aktiviti tanam semula oleh pekebun kecil persendirian (PKP) sawit. Oleh itu, KPK bercadang untuk meningkatkan nilai kos tanam semula yang dibiaya di bawah Program TSPKS 2.0 bagi tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), bermula tahun 2026,” katanya ketika sesi soal jawab menteri di Parlimen, sebentar tadi.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, KPK juga telah memohon peningkatan siling peruntukan untuk Skim TSPKS 2.0 sebanyak RM1.4 bilion bagi rancangan lima tahun.

“Nilai bantuan bagi Program TSPKS 2.0 akan dinaikkan daripada RM14,000/ha kepada RM16,000/ha untuk Semenanjung Malaysia dan daripada RM18,000/ha kepada RM20,000/ha untuk Sabah dan Sarawak.

“Kementerian juga telah memohon peningkatan siling peruntukan bagi Skim TSPKS 2.0 sebanyak RM1.4 bilion untuk rancangan lima tahun (2026-2030) di bawah RMK-13 berdasarkan kepada keluasan dan bilangan PKP yang terlibat bagi meningkatkan kadar tanaman semula.

“Selain daripada kos yang semakin tinggi, terdapat faktor lain yang mempengaruhi kadar tanam semula yang rendah dalam kalangan PKP. Kebanyakan PKP sedia ada berada pada usia lanjut, manakala minat oleh generasi pelapis untuk meneruskan usaha penanaman semula dilihat semakin berkurangan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua faktor sedang diteliti oleh KPK untuk menambah baik skim sedia ada agar inisiatif tanam semula sawit dapat dipergiat.

“Selain itu, kebimbangan terhadap kehilangan sumber pendapatan sementara dalam tempoh tanaman belum berhasil turut menjadi penghalang kepada pelaksanaan penanaman semula secara menyeluruh dan mengikut sasaran.

“Tambahan pula, kenaikan harga buah tandan segar (BTS) juga mendorong syarikat perladangan, pemilik ladang sawit dan PKP untuk mengekalkan pokok sawit sedia ada bagi memperoleh pendapatan jangka pendek.

“Kesemua faktor ini sedang diteliti untuk KPK menambah baik skim sedia ada agar inisiatif tanam semula sawit dapat dipergiat demi meningkatkan hasil sawit negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO