Kerajaan MADANI Terus Bekerja Demi Kesejahteraan Rakyat Dan Negara – Azalina

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan pengukuhan ekonomi negara terus diperkasa.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia itu berkata, tekad kerajaan diterjemah menerusi pelbagai inisiatif dan usaha berterusan bagi menjamin kestabilan dan kemajuan negara.

“Insyallah, Kerajaan MADANI akan terus bekerja bagi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Azalina berkata menerusi hantaran di Facebook berkongsi kehadirannya ke Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan November di Dewan Puspanitapuri, Presint 10, Putrajaya pada semalam.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam amanatnya mengulangi kenyataan semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat berkaitan beberapa indikator utama ekonomi negara yang menunjukkan pertumbuhan positif.

“Antaranya termasuk kedudukan Ringgit yang terus mengukuh dan peningkatan pelaburan langsung asing yang berterusan.

“Semua ini dapat dikecapi hasil tekad dan kerja keras semua pihak disokong kestabilan politik serta imej positif Malaysia di persada antarabangsa,” ujar beliau.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Negara, para pegawai kanan kerajaan dan seluruh warga JPM. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO