Dr Asyraf Prihatin Kes Buli, Bantu Syafikah Sambung Belajar di GIATMARA
KUALA LUMPUR, 13 Nov – Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menzahirkan keprihatinan terhadap nasib seorang remaja, Syafikah dari Tangkak, Johor yang terpaksa berhenti sekolah akibat dibuli secara fizikal dan mental.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, kisah Syafikah tular semalam melalui perkongsian pengguna media sosial, Afiq Noordin.
“Syafikah terpaksa berhenti sekolah akibat dibuli secara mental dan fizikal, hingga hilang semangat untuk meneruskan pelajaran.
“Sejak kecil, Syafikah membantu ibunya berniaga sarapan pagi di warung kecil di Pekan Tangkak, beliau anak kedua daripada tiga beradik dan ayahnya pula ditimpa musibah penyakit yang kehilangan sebelah kaki dan keluarga ini hanya bergantung kepada pendapatan harian warung tersebut untuk meneruskan kehidupan.
“Sebaik kisahnya sampai kepada saya, sahabat saya Arif Wagiman, Naib Ketua UMNO Bahagian Ledang, segera menghubungi saya untuk mencari jalan membantu anak ini yang sudah putus semangat untuk bersekolah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Dr Asyraf seterusnya memaklumkan hasil koordinasi bersama GIATMARA Johor dan pemimpin komuniti setempat, MARA menawarkan tempat pengajian di GIATMARA Muar dalam bidang Kulinari, bidang yang memang menjadi minat dan kecenderungan Syafikah sejak kecil.
Katanya, melalui program ini, GIATMARA akan menanggung semua kos pengajian termasuk elaun bulanan dan keperluan asas.
Manakala bantuan penginapan akan diuruskan oleh Persatuan Ibu Bapa Komuniti Swasta (PIBKS) daerah Ledang yang turut tampil membantu.
“Alhamdulillah sinergi bersama pemimpin komuniti setempat dan pihak GIATMARA Negeri Johor dapat membantu adik Syafiqah untuk memberi semula harapan dalam meneruskan pelajaran dalam bidang TVET,” ujar beliau.
Beliau dalam pada itu menegaskan isu buli bukan perkara kecil kerana mampu menghancurkan masa depan anak bangsa, dan perlu ditangani secara serius.
“Saya ingin tegaskan isu buli bukan perkara kecil dan bukan sesuatu yang normal. Ia boleh meragut keyakinan, mematahkan semangat dan menghancurkan masa depan seorang anak bangsa. Kita perlu berani menolak budaya ini dan melindungi anak-anak yang menjadi mangsa.
“Kisah adik Syafikah ini mengingatkan kita bahawa setiap anak berhak diberi peluang kedua.
“Hari ini mungkin dia mangsa, tetapi dengan sokongan dan kasih masyarakat, InsyaAllah dia akan bangkit sebagai insan yang berjaya dan jadi inspirasi buat orang lain,” ujar beliau. – UMNO Online
