Dari Parlimen: Tampin Minta Penjelasan, Langkah Susulan MAIWP Bantu Peserta Perniagaan

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa meminta penjelasan mengenai langkah susulan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk memastikan asnaf dibantu tidak kembali berada di bawah garis kemiskinan.

Ujarnya, isu mengenai asnaf yang telah menerima bantuan modal daripada MAIWP tetapi menghadapi kesukaran untuk mengekalkan perniagaan akibat kemahiran pengurusan perlu diberi perhatian.

“Saya mengucapkan tahniah kepada MAIWP yang menerima Sijil Audit Bersih saban tahun. Soalan saya, apakah pencapaian terkini keseluruhan program pembangunan asnaf untuk tahun 2025?

“Ada satu isu… terdapat asnaf yang telah menerima bantuan modal daripada MAIWP menghadapi kesukaran untuk mengekalkan perniagaan akibat kekangan pasaran dan kemahiran pengurusan.

“Apakah langkah susulan yang diambil oleh MAIWP untuk memastikan peserta tersebut tidak kembali berada di bawah garis kemiskinan?” soalnya ketika sesi soal jawab di Parlimen, sebentar tadi.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan bahawa pelbagai usaha dan langkah telah dilaksanakan termasuklah pemantauan peserta secara berterusan.

“Pencapaian kita telah menepati sasaran 100 peratus. Namun begitu, ia perlu dipertingkatkan dan kita akan pastikan penambahbaikan dijalankan. Untuk memastikan asnaf-asnaf yang mengikuti program tidak akan melalui perkara sama, kita telah melaksanakan pelbagai usaha dan langkah.

“Antaranya pemantauan berterusan oleh pegawai MAIWP dan rakan strategik. Selain itu kita ada bimbingan lanjutan ‘coaching’ dan kursus kemahiran tambahan untuk memperkukuh pengurusan perniagaan, pemasaran digital dan pengurusan kewangan.

“Kita juga ada tambah beberapa lagi program kemahiran yang diperlukan. Selain itu, untuk memastikan pekerjaan peserta yang telah mengikuti kursus latihan, kita adakan program bimbingan lanjutan ‘job matching’ bersama rakan industri dan agensi kerajaan.

“Ini banyak membantu. Sebagai contoh dengan Akademi Binaan Malaysia (ABM), dan MARA Liner Sdn Bhd. Alhamdulilah nampak positif, namun kita akan teruskan usaha untuk memperkasakan asnaf di Wilayah Persekutuan dan di Malaysia Insya-Allah,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO