Dari Parlimen: Jempol Cadang Angkat Jalan Penarikan Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli mencadangkan agar Jalan Penarikan yang terletak di Jempol diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Ini kerana katanya, laluan tersebut kaya dan sarat dengan pelbagai sejarah termasuklah pernah dijadikan laluan untuk kegunaan para pedagang satu ketika dahulu.

“Jempol ingin menarik perhatian Dewan kepada Jalan Penarikan yang merupakan tapak warisan khazanah sejarah negara di daerah Jempol. Namun kini ia semakin dilupakan zaman.

“Laluan ini digunakan oleh pedagang yang terpaksa menarik perahu dan jong mereka sekitar (500 – 600 meter) menggunakan batang kayu bulat mengikuti jalan darat untuk menghubungkan Sungai Jempol dengan Sungai Serting sebelum meneruskan perjalanan sungai di antara pantai timur dan barat Semenanjung Tanah Melayu.

“Berdasarkan catatan sejarah dan peta lama, laluan ini dipercayai telah digunakan sejak zaman kerajaan Srivijaya sekitar abad ke-7 hingga ke-13 Masihi sebagai laluan perdagangan. Ia kemudiannya terus dimanfaatkan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka (abad ke-15),” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Jelasnya, rekod peninggalan Jalan Penarikan itu termasuk dalam sukatan mata pelajaran Sejarah namun ramai generasi muda kini tidak lagi mengetahui kewujudan laluan penting tersebut.

“Di sini juga terdapat kesan peninggalan parit siam yang diusahakan oleh tentera siam antara Sungai Jempol terus ke Sungai Serting untuk laluan kapal perang mereka. Luas parit ini dianggarkan lebih kurang 40 kaki dan panjang dianggarkan lebih kurang setengah batu.

“Rekod peninggalan Jalan Penarikan yang amat bersejarah ini termasuk dalam sukatan mata pelajaran Sejarah. Namun, ramai generasi muda kini tidak lagi mengetahui sejarah kewujudan laluan penting ini.

“Jalan Penarikan kini terpinggir dan dilupakan. Sungai-sungai yang suatu masa dahulu dalam dan lebar kini cetek, hanya sekitar 1.5 meter akibat aktiviti pembalakan, hakisan dan pembangunan pesat di kawasan sekitar. Ketiadaan usaha pemuliharaan yang menyeluruh menyebabkan banyak tapak bersejarah hilang tanpa dokumentasi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mempersoalkan perancangan kerajaan untuk memartabatkan Jalan Penarikan sebagai mercu tanda sejarah kebangsaan dan aset pelancongan baharu.

“Jempol berpandangan, sudah sampai masanya kementerian memulakan langkah memulihara Jalan Penarikan sebagai warisan negara dan seterusnya mencalonkan dan mengangkat Jalan Penarikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Inisiatif ini bukan sahaja akan mengangkat warisan tamadun Melayu ke persada antarabangsa, malah turut membuka peluang pelaburan pelancongan warisan yang mampan dan memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat di kawasan Jempol.

“Persoalan Jempol, apakah perancangan kementerian dalam memartabatkan Jalan Penarikan sebagai mercu tanda sejarah kebangsaan dan aset pelancongan baharu yang mampu memperkukuh jati diri serta kebanggaan warisan bangsa ? Mohon maklumbalas Menteri,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO