Tambah Peruntukan KEJORA, Angkat Potensi Pelancongan Sempena Tahun Melawat Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib mencadangkan agar peruntukan kepada Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) ditambah bagi menyokong pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor tahun hadapan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi membantu Johor mencapai sasaran RM42 bilion hasil pelancongan dan menarik 12 juta pelancong ke negeri tersebut.

“Di kawasan KEJORA ada pantai-pantai peranginan dan sebagainya termasuk satu produk pelancongan yang baharu iaitu Air Terjun Gunung Muntahak, di belakang Bandar Petri Jaya dalam Parlimen Tenggara yang memerlukan perhatian kerana aset pelancongan yang menarik.

“Air terjun 10 tingkat termasuk Jeram Sungai Tengkil. Dana pembangunan KEJORA ini boleh dimanfaatkan untuk menarik lebih ramai pelancong ke kawasan-kawasan seperti Air Terjun Gunung Muntahak,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Manndzri turut menekankan kepentingan pendekatan pelancongan berasaskan komuniti yang melibatkan secara langsung masyarakat FELDA dan kampung warisan seperti Gugusan Batu 4, termasuk Temenin Baru, Temenin Lama, Batu 4, Lukut dan Bukit Lintang, serta tiga Kampung Orang Asli (KOA) di kawasan Tenggara.

“Kampung ini memerlukan sentuhan untuk diperkembang sebagai destinasi pelancongan unik dalam Wilayah KEJORA beri manfaat terus kepada komuniti tempatan, belia dan usahawan kecil,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menyifatkan langkah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Program TVET mampu menaik taraf kemahiran Orang Asli bagi bersaing dalam pasaran pekerjaan moden.

“Tenggara yakin Pendidikan TVET mampu angkat maruah dan persaingan setara.

“Bila Orang Asli dilatih dalam TVET, mereka boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan yang lain dalam pasaran kerja,” ujar beliau. – UMNO Online

 

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO